top of page
  • newsatmy

Nadma alu-alukan pembabitan badan korporat, NGO dalam pengurusan bencana


TUMPAT,1 Ogos: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengalu-alukan pembabitan badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkukuh pengurusan bencana di peringkat akar umbi selaras usaha dilakukan kerajaan.


Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus berkata ini kerana kesiapsiagaan merupakan satu daripada isu utama yang perlu diberi keutamaan dalam pengurusan bencana.


Beliau berkata semua pihak termasuk kerajaan negeri, sektor korporat dan NGO dapat meneruskan usaha tersebut bagi memperkasakan komuniti supaya lebih bersedia dalam pengurusan bencana. "Kita berharap agar apa yang dilakukan oleh pihak korporat seperti Petronas dan Persatuan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADIM) yang mengadakan sesi latih amal dan beberapa siri latihan seperti di kepulauan Tumpat kali ini dapat memberi impak.

"Usaha seumpama ini diharap dapat diteruskan di seluruh negara sepertimana usaha yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan," katanya kepada pemberita selepas Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti anjuran Petronas dan NADIM di Pulau Teluk Renjuna di sini pada Ahad.


Turut hadir, Pengarah Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Nik Mohamed Noor Nik Ishak.

Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti merupakan program perintis berimpak tinggi yang dirangka Petronas dan NADIM bertindak sebagai rakan pelaksana.

Sementara itu, Pengurus Kanan Petronas Pantai Timur Yusri Anuar Ahmad berkata Yayasan Petronas melalui Program Sentuhan Kasih: Disaster Relief menganjurkan latihan persediaan sebelum bencana iaitu melibatkan aspek pengurusan risiko menghadapi banjir secara lebih sistematik.


Beliau berkata seiring dengan perubahan iklim global dan kesan yang timbul, aspek pengurangan risiko akibat bencana adalah penting kepada sesebuah komuniti yang terkesan.

Justeru, katanya Petronas mengambil langkah ke hadapan menyediakan latihan sebagai persediaan awal dalam memperkukuh kesiapsiagaan pihak yang terlibat.

"Kami berharap program ini mampu meningkatkan kemahiran di dalam menguruskan risiko bencana secara lebih sistematik dalam kalangan masyarakat setempat.

"Matlamat program ini adalah untuk menyediakan sistem tadbir urus risiko bersepadu melalui penggembelengan usaha antara agensi kerajaan, swasta, komuniti dan NGO," katanya.


-- BERNAMA

bottom of page