top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Nadma: Kementerian Alam Sekitar dan Air diminta menambah baik sistem amaran banjir

5 Januari 2022

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air diminta menambah baik sistem amaran banjir dengan memastikan bunyi amaran berada pada volum yang lebih tinggi dan berbeza daripada siren lain, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).


Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata ini adalah antara keputusan penting yang diambil pada mesyuarat khas Pasukan Petugas Pengurusan Bencana Banjir Monsun Timur Laut yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.


Ia berkata inisiatif pasca bencana termasuk tindakan kementerian memantau benteng yang tidak diselenggara dengan baik bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di beberapa kawasan.


“Bagi negeri yang telah memasuki fasa pasca bencana, Pusat Arahan Bencana negeri dan daerah diminta mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah untuk melakukan penilaian di kawasan terjejas,” kata kenyataan itu.


Nadma berkata, perdana menteri turut mengarahkan agar proses pengagihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dipermudahkan dan semua menteri besar atau ketua menteri perlu memastikan setiap pejabat daerah memudahkan penyaluran bantuan itu melalui beberapa kaedah.


Setakat jam 5 petang hari ini, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan (PPS) di Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menurun manakala di Terengganu, Sabah dan Selangor tidak berubah.


Menurut Nadma, operasi banjir di seluruh negara kini melibatkan 17,223 anggota agensi respons menggunakan 3,251 gabungan aset pelbagai agensi manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengagihkan 544,064 pek makanan yang disediakan tiga kali sehari bersama barangan keperluan lain kepada mangsa banjir.


Ia berkata Pusat Arahan Bencana negeri dan daerah dikehendaki memaklumkan Pusat Arahan Bencana negara tentang sebarang kejadian tanah runtuh yang menjejaskan penempatan dan memerlukan pemindahan serta penyelarasan segera oleh pihak berkuasa.


“Setakat 10 pagi, 4 Jan 2022, Jabatan Mineral dan Geosains telah melaporkan 245 kejadian tanah runtuh di seluruh negara, iaitu peningkatan dua lokasi (masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Selangor) manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) melaporkan 61 insiden cerun dan jalan runtuh dikesan sepanjang MTL 2021/2022," katanya.


Nadma juga berkata setakat 10 pagi ini, 1,020 atau 97 peratus daripada 1,048 unit infrastruktur komunikasi yang rosak telah dibaik pulih manakala baki 28 lagi masih dalam proses pemulihan.

bottom of page