top of page
  • newsatmy

Naikkan gaji penjawat awam bukan jalan penyelesaian - Akhbar Satar

13 Februari 2021

Isu rasuah berkait rapat dengan integriti dan kejujuran, oleh itu langkah menaikkan gaji kepada penjawat awam bukanlah jawapan kepada masalah ini.


Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berpendapat penerapan nilai moral dan aspek penguatkuasaan adalah lebih penting dalam membantu usaha untuk memerangi rasuah.


"Ini soal integriti yang berbangkit daripada kesedaran sendiri. Kena sedar tak boleh tamat dan jangan hidup lebih daripada kemampuan.


"Gaji di Malaysia kalau dibanding dengan Indonesia dan Thailand, boleh dikira agak baik.


"Mereka perlu diingatkan dan diterapkan dengan nilai yang bagus, dan masyarakat juga perlu mainkan peranan membuat laporan.


"Jangan jadi pemberi rasuah dan pegawai-pegawai ini perlu sentiasa diberi peringatan tentang bahaya dan impak rasuah.


"Dalam masa yang sama, ketua yang beri peringatan perlu tunjuk contoh yang baik, bersih dari rasuah," katanya mengulas tentang tindakan mengelak rasuah dalam kalangan penjawat awam dalam Buletin AWANI, hari ini.


Tambah Akhbar lagi, melalui pemerhatiannya, terdapat ramai individu yang bergaji besar terbabit dengan rasuah sekaligus menjadikan gaji sebagai isu yang berbeza dengan rasuah.


"Individu ini sentiasa rasa tidak cukup dan mahu hidup lebih mewah.


"Mereka perlu disedarkan kalau nak hidup lebih mewah, ada cara yang betul seperti menjalankan perniagaan atau kenaikan pangkat.


"Tetapi menaikkan gaji bukan langkah yang ideal jika tujuannya untuk membanteras rasuah kerana ia berkait dengan isu integriti," katanya.

bottom of page