• newsatmy

Najib bukan 'orang dalam' SRC International - Shafee

28 April 2021

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan dimaklumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan 'orang dalam' dalam SRC International.


Menjelaskannya, ketua peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya itu tidak pernah menjadi pengarah atau pengarah bayangan dalam SRC International seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi.


Dalam hujahnya, beliau memberitahu, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengadaptasi konsep undang-undang sivil dan undang-undang statut (common law) England untuk mensabitkan anak guamnya dengan tiga pertuduhan pecah amanah yang membabitkan RM42 juta yang didakwa disalahgunakan daripada dana SRC International.


Beliau menjelaskan, meskipun Seksyen 402A Kanun Keseksaan mendefinisikan pengarah sebagai 'seakan-akan serupa' dengan pengarah bayangan, namun ia tidak sama seperti di England.


"Anak guam saya bukan 'orang dalam' SRC seperti yang dijelaskan di bawah Kanun Keseksaan untuk melakukan pecah amanah," katanya ketika berhujah di sini, pada Rabu.


Rayuan itu didengar tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.


Mengulas lanjut, Muhammad Shafee memberitahu, pihak pembelaan juga tidak menjelaskan secara terperinci tentang kewujudan unsur-unsur pecah amanah dalam kes ini.


"Maka hakim yang menjatuhkan hukuman terhadap anak guamnya itu tersalah dalam mengadaptasikan undang-undang statut England untuk mensabitkan anak guam saya dengan kesalahan itu," katanya.


Dalam pada beliau berkata, perkara itu perlu dibuktikan bahawa perayu (Najib) mempunyai kawalan dan diberi kepercayaan terhadap RM42 juta.


"Ini secara langsung telah menimbulkan prasangan dan ketidakadilan terhadap perayu," katanya.


Pihak pendakwaan diketuai peguam Datuk V Sithambaran.


Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Mohd Nazlan memutuskan bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu adalah pengarah bayangan dengan pengaruh besar dan kedudukan kuasa yang kuat dalam SRC International.


Ekoran itu, beliau berkata demikian Najib yang juga penasihat emeritus SRC, mesti membela dirinya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.


Pada bulan Julai tahun lalu, Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah mendapati dia bersalah atas tujuh tuduhan itu.


-Astro Awani