Arissa Azman
"Najib curi duit kerajaan, kenapa nak beri RM100 juta" - Tun M
24 NOVEMBER 2021

Bekas Perdana Menteri (PM) Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi kecamannya terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung isu hartanah RM100 juta, sambil mempertikai sumbangan bekas PM ke-6 itu yang antara lain menghilangkan wang kerajaan.
“Apa dianya sumbangan Najib kepada negara? Yang kita tahu ialah ia (Najib) didapati bersalah mencuri duit Kerajaan, menghilang duit Kerajaan berbillion Ringgit. Dia dihukum penjara 12 tahun dan denda lebih dari 200 juta Ringgit.
“Ia (Najib) sedang dibicara terhadap lebih 800 juta $AS yang ada dalam banknya. Dan dia tidak dapat jelas bagaimana ia memperoleh wang yang sebegitu banyak. Ini bukan perkara lama. Ini perkara sekarang dan masa depan kerana sampai puluhan tahun Kerajaan Malaysia terpaksa bayar faedah sebanyak 2 billion Ringgit setahun dan hutang pokok 42 billion. Anak cucu kita akan tanggung beban ini.
“Ia (Najib) juga merosak parti UMNO yang buat pertama kali kalah dalam PRU-14. Pentadbiran negara juga dirosakkan sehingga pegawai tinggi terpaksa dihentikan kerana rasuah,” tulis Dr Mahathir dalam blognya hari ini.
Menurut bekas PM Malaysia keempat dan ketujuh itu keadaan ekonomi negara juga hancur, sementara keadaan politik tidak stabil sehingga dalam tempoh tiga tahun PM bertukar sebanyak tiga kali.
Dr Mahathir berkata Malaysia yang dulunya dikenali sebagai ‘Asian Tiger’ sekarang menjadi kleptokrasi iaitu negara pencuri yang diperintah oleh pencuri, hasil pemerintahan Najib, hingga dunia memandang hina kepada Malaysia.
“Untuk semua ini dan banyak lagi Kerajaan Ismail Sabri melulus 2.7 ekar tanah bernilai 60 juta Ringgit lebih dan akan bangun sebuah rumah bernilai RM40 juta kerana mengenang “jasa” Najib,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa bekas PM Pertama Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang berjaya memerdekakan negara hanya mendapat sebuah rumah papan, manakala rumah PM kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussin dijadikan monument.
Menurutnya, Allahyarham Tun Hussein Onn pun tidak mendapat apa-apa yang bernilai tinggi, manakala Tun Rahah mendapat rumah kerajaan yang sedia ada.
Dr Mahathir berkata beliau menjadi PM selama 22 tahun tidak menuntut dan tidak dapat apa-apa selain dari pencen dan RM10,000 sebulan untuk selenggara rumah yang didirikan oleh beliau sendiri.
“Sebidang tanah di Putrajaya telah ditawar kepada saya secara percuma apabila saya bersara tetapi saya telah tolak dan sebaliknya saya beli tanah di Putrajaya dengan harga seperti yang ditawar kepada penjawat awam apabila bersara. Setiap tahun saya bayar cukai tanah sebanyak RM6,071 dan cukai taksiran sebanyak RM1,792.
“Najib yang menghancurkan negara sehingga menjadi kleptokrasi pula akan diberi RM100,000,000 tanpa dilulus oleh Parlimen – bahkan dirahsia. Najib membuat permohonan sedangkan bekas Perdana Menteri lain tidak buat permohonan untuk tanah tertentu. Sama ada Kerajaan susulan hendak balas budi atau tidak adalah hak Kerajaan.
“Dunia ketawa melihat Malaysia di mana seorang banduan yang lesap berbillion Ringgit begitu disanjung tinggi dan dihormati. Sebagaimana biasa Najib cuba salahkan saya kerana buat pindaan pada tahun 2003 kepada Akta Saraan Ahli Parlimen 1980,” katanya.
Dr Mahahthir menjelaskan pindaan itu bertujuan untuk kerajaan menimbang memberi sedikit ganjaran kepada bekas PM sebagai mengenang jasa mereka, yang biasanya melibatkan rumah kerajaan sedia ada.
“Bagi seorang Perdana Menteri yang merosakan negara sehingga dihukum penjara, perlukah kita beri hadiah sampai 100 juta, sedangkan yang merdekakan negara diberi hanya sebuah rumah dinding papan berbumbung genting sahaja?,” soal Dr Mahathir. -AD