top of page
  • newsatmy

Najib mohon pinda tarikh pasport ke Singapura

22 Oktober-KUALA LUMPUR

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya ke Singapura bagi membantu jentera parti UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Pemindaan tarikh itu berikutan Najib ,68, perlu ke PRN Melaka selepas presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan tulang belakangnya.

Pada prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan kemudian menangguhkan pendengaran permohonan itu pada kepada 26 Oktober ini.

Terdahulu, semasa prosiding peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, memberitahu mahkmah pihaknya telah memfailkan permohonan untuk meminda notis usul berhubung pelepasan pasport itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin memaklumkan pihaknya perlu mendapatkan arahan daripada Peguam Negara berhubung permohonan pindaan berkenaan.

Berdasarkan notis usul terpinda yang diperoleh, Najib memohon tarikh baharu pasportnya diserahkan secara sementara pada 25 Oktober dan dipulangkan pada 6 Disember ini untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa yang kini sedang berada di Singapura, yang bakal melahirkan cahaya mata baru (anak kedua).


Sebelum ini, Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Najib untuk pasportnya dikembalikan sementara pada 20 Oktober ini dan perlu mengembalikannya pada 22 November ini.

Sementara itu menerusi afidavit sokongan tambahan Najib berkata, selepas mendapat kebenaran pasport daripada Mahkamah Rayuan Isnin lalu, beliau telah dimaklumkan berkenaan perkembangan Pilihanraya Kecil Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 November 2021 dan penamaan calon yang akan dibuat pada 8 November 2021.

“Memandangkan Presiden Parti UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada masa tersebut akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi tulang belakangnya, saya telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan bahawa parti UMNO sewaktu PRN Melaka bertindak secara teratur dan dengan sewajarnya sementara ketiadaan Ahmad Zahid,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun perancangannya terpaksa diubah namun alasan kepada permohonan pelepasan sementara pasport antarabangsa saya masih kekal sama.

Jumaat minggu lalu, Mohamed Zaini membenarkan permohonan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor untuk pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Singapura atas tujuan yang sama.

Di hadapan Mohamed Zaini, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya. Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Sementara Rosmah didakwa satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.- K! ONLINE

コメント


bottom of page