• Arissa

Naz Carpentry terbuka selesai saman terhadap Awal Ashaari secara mediasi

7 September 2021

KUALA LUMPUR : Syarikat perkhidmatan ubah suai dan dekorasi rumah, Naz Carpentry menyuarakan keterbukaannya dan bersedia untuk menyelesaikan kes samannya terhadap hos televisyen Awal Ashaari secara baik menerusi proses mediasi.


Dalam satu kenyataan media hari ini, jurucakap Naz Carpentry, Saiful Ridzuan, berkata syarikat itu berharap rundingan berkenaan akan memulihkan reputasi mereka.


"Naz Carpentry sentiasa terbuka untuk mencapai persetujuan 'menang-menang' bagi krisis reputasi ini.


"Apa yang penting ialah keputusan yang disasar oleh kedua-dua pihak mestilah memastikan jenama Naz Carpentry yang telah dicemari akan berjaya dipulihkan," katanya.


Beliau berkata, sebelum ini, Awal telah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyelesaikan kes berkenaan secara mediasi dan bukannya menerusi perbicaraan di mahkamah.


Mahkamah pada awal Julai lalu membenarkan permohonan Awal sebagai defendan kes berkenaan dan mencadangkan kes saman fitnah itu dirujuk ke Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi.


Sementara itu, dalam kenyataan sama, peguam mewakili Naz Carpentry, Nurul Hafidzah Hasan dan Wan Azmir Wan Majid, berkata: "Anak guam bersedia untuk perbicaraan namun pada masa sama berbesar hati untuk berunding bagi menyelesaikan kes ini".


Proses mediasi antara kedua-dua pihak itu akan bermula pada 12 Oktober depan.


Media pada 13 November tahun lepas, melaporkan Naz Empire memfailkan saman terhadap Awal dan dua rakan kongsi perniagaan atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise iaitu Nawal Yasmin Mat Noh serta Muhammad Hilmi Zulkifli kerana didakwa memfitnah syarikat itu berhubung kerja-kerja pengubahsuaian di kediaman selebriti tersebut.


Menurut Naz Empire dalam pernyataan tuntutannya, Nawal Yasmin dan Muhammad Hilmi menjalankan perniagaan secara perkongsian atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise dan didakwa sering berkongsi siaran-siaran gambar atau video berkaitan ubah suai atau dekorasi rumah dalam laman media sosial Instagram mereka @houseofsix.my.


Syarikat itu mendakwa kerja-kerja pengubahsuaian dimulakan selepas defendan pertama (Awal) membayar deposit sebanyak RM100,000 menerusi dua transaksi pada Ogos 2019 dan sekitar 3 Sept 2019, dan plaintif mendakwa defendan menyatakan bahawa beliau mahukan 'sky roof' dan tambahan tingkap di dapur rumah baharunya itu.


Ini menyebabkan plaintif memberi sebut harga baharu kepada defendan pertama untuk kos pengubahsuaian sebanyak RM7,500.


Dakwa plaintif, Awal secara tiba-tiba menimbulkan pelbagai isu dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap hasil atau kualiti kerja plaintif dan memberhentikan syarikat terbabit daripada terus membuat kerja pengubahsuaian serta meminta memulangkan semula wang deposit sebanyak RM100,000.


Plaintif mendakwa, Awal telah memulakan siri fitnah secara berterusan terhadap plaintif dalam laman sosial Instagram dan Facebook miliknya serta telah memuat naik satu siaran fitnah melalui siaran YouTube di pautan dengan nama pentas 'SchaAwal' bagi tujuan sama.


Naz Empire telah mengemukakan saman berjumlah RM3 juta terhadap Awal kerana didakwa menjatuhkan imej, jenama dan reputasi syarikat serta pemilik syarikat terbabit di media sosial.