• newsatmy

NCER tarik pelaburan RM16 bilion pada 2021 meskipun berdepan cabaran pandemik

26 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperoleh pelaburan bernilai lebih RM16 bilion pada 2021, sekali gus bakal mencipta lebih 19,000 peluang pekerjaan bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).


Ketua Pegawai Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata pelaburan itu adalah bukti keyakinan berterusan para pelabur terhadap usaha kerajaan dalam menguruskan pandemik COVID-19.


"Ini adalah petanda-petanda awal kebangkitan ekonomi akan berlaku tidak lama lagi. Ia membawa lembaran baharu yang amat dinantikan semua pihak," katanya dalam taklimat media secara maya hari ini.


Pengumuman mengenai pelaburan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis NCIA Ke-26 yang diadakan secara sidang video, dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Jebasingam berkata pelaburan yang diterima NCIA adalah dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, selaras dengan usaha kerajaan untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri pada 15 Jun lepas.


"Pelaburan yang diperoleh NCIA pada tahun ini juga adalah bukti kejayaan agensi berkenaan dalam membina ekosistem berdaya tahan yang mendorong pemulihan era pasca pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk rakyat," katanya.


Hadir sama pada mesyuarat itu adalah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, menteri besar dan ketua menteri bagi negeri-negeri di bawah NCER serta wakil-wakil sektor swasta.


Jebasingam turut memaklumkan bahawa dua pelabur perintis telah bersetuju menyuntik pelaburan kumulatif bernilai RM1.55 bilion dalam projek Kedah Rubber City (KRC), iaitu Taman Perindustrian Getah yang pertama di Malaysia yang dijangka memulakan operasi pada suku keempat 2021.


"Pelabur-pelabur terlibat adalah Hong Seng Industries Sdn Bhd (RM1.5 bilion) and LTS Logistics Sdn Bhd (RM55 juta). Secara keseluruhan, mereka dijangka mewujudkan 2,630 peluang pekerjaan," katanya.


Syarikat-syarikat lain yang turut melabur dalam NCER adalah Aspen Glove Sdn Bhd, Ammorium Resources Sdn Bhd, Intel Technology Sdn Bhd, Intel Microelectronics (M) Sdn Bhd, Greatech Integration (M) Sdn Bhd dan Infineon Technologies (Kulim) Sdn Bhd.




-- BERNAMA