top of page
zaman

Negeri Sembilan Aktifkan Sistem Amaran, Siap Siaga Hadapi Banjir- MB


SEREMBAN, 10 Okt –Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa bersiap siaga terutama dari aspek melengkapkan sistem amaran dan pemantauan bagi menghadapi banjir yang dijangka bermula tidak lama lagi.


Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sebagai persediaan ke arah itu, sejumlah peralatan dan stesen telemetri telah diaktifkan melalui inisiatif Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan (JPSNS).


Menurut catatan di laman Facebook beliau pada Isnin, ramalan daripada Jabatan Meterologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan, jumlah hujan yang tinggi akan diterima menjelang akhir tahun ini dan ia sekaligus meningkatkan risiko berlaku kejadian banjir.

“Sebagai persediaan menghadapi banjir di Negeri Sembilan, sejumlah peralatan dan stesen telemetri telah disediakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan (JPSNS).

“Stesen dan peralatan yang disediakan adalah 64 Stesen Hujan Telemetri, 16 Stesen Air Telemetri, 22 Stesen Siren Amaran Banjir dan 10 buah Kamera Litar Tertutup (CCTV),” ujarnya.


Jelasnya, kesemua stesen dan peralatan ini dihubungkan terus dengan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negeri (PRABN).


Melalui rangkaian berkenaan, data yang diperolehi oleh PRABN membolehkan JPSNS melakukan ramalan serta memberikan ramalan awal sekiranya terdapat risiko berlakunya banjir.


Sebanyak 89 kawasan di negeri ini dijangka akan mengalami banjir dan persediaan rapi yang dilakukan kerajaan negeri bersama agensi seperti JPSNS dapat membantu sistem pengurusan bencana dengan lebih berkesan bagi mengurangkan impak banjir kepada rakyat.

“Insya-Allah, semoga peralatan yang disediakan ini dapat memberikan amaran awal kepada rakyat Negeri Sembilan sekiranya berlaku kejadian banjir,” katanya.

Comments


bottom of page