top of page
  • newsatmy

Netflix UK, Australia tayang si kembar

14 April 2021

KUALA LUMPUR: Program animasi popular, Upin & Ipin mencatat satu lagi sejarah apabila perkhidmatan televisyen (TV) penstriman terkemuka, Netflix di United Kingdom (UK) dan Australia mula menayangkan kisah kembar itu sebagai antara kandungan yang ditawarkan kepada pelanggan, sejak 7 April lalu.


Berkongsi mengenai apa yang disifatkan langkah besar bagi syarikat produksi Les' Copaque Production Sdn Bhd, Pengurus Pemasaran Antarabangsa, Karya Budi Mohd Aris, 39, berkata, tawaran Netflix UK dan Australia itu dianggap suatu justifikasi bahawa Upin & Ipin adalah karya bermutu.


"Kami bangga apabila Netflix UK dan Australia mahu menayangkan karya kami di platform mereka. Secara tidak langsung, ini membuktikan kualiti kandungan kami dan petunjuk bahawa karya kami mencapai standard antarabangsa.


"Pada masa sama, ini menunjukkan penceritaan yang dipaparkan dalam Upin & Ipin boleh diterima pakai di mana-mana sahaja.


"Ini bererti kandungan kami bagus untuk dibawa ke luar negara. Biarpun Upin & Ipin adalah buatan Malaysia, ia boleh diterima di seluruh dunia," katanya kepada BH Online.


Bagaimanapun, Budi kurang pasti sama ada Upin & Ipin adalah karya animasi tempatan pertama yang dipilih platform penstriman itu.


"Saya tidak boleh katakan Upin & Ipin adalah animasi pertama yang ditayangkan di platform di dua negara terbabit.


"Kami tidak pasti sama ada pihak mereka ada mengambil karya animasi tempatan yang lain. Kami tidak dimaklumkan mengenai perkara itu. Tapi apabila pihak sana menerima kandungan kami, ia sudah membuatkan kami berbangga.


"Ini membuktikan bahawa hasil kerja kami bukan saja diterima di Malaysia, malah di luar negara," katanya.


Dalam perkembangan lain, musim ke-14 Upin & Ipin mula ditayangkan di saluran Astro Prima sejak kelmarin.

"Sebelum ini, pengikut tempatan siri animasi itu hanya boleh menonton episod musim itu di saluran YouTube selepas ia disiarkan di stesen televisyen (TV) Indonesia, MNC TV.

"Namun, sekarang, penonton tempatan sudah boleh menonton di Astro.

"Sebenarnya, musim 14 Upin & Ipin sudah habis ditayangkan di Indonesia. Sekarang kami sedang menghasilkan musim ke-15," katanya.

Musim 14 sebanyak 42 episod itu ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis pada jam 7.30 malam dan diulang pada Sabtu dan Ahad pada jam 7 malam.

Siri Upin & Ipin yang disiarkan Netflix UK dan Australia adalah musim kelima sehingga kelapan selain musim 11 dan 12.

Astro Prima mula menyiarkan musim ke-14 Upin & Ipin membabitkan 42 episod setiap Isnin hingga Khamis pada jam 7.30 malam. Siaran diulang pada Sabtu dan Ahad pada jam 7 malam. -Berita Harian




bottom of page