top of page
  • Writer's pictureNihaba

NGO lancar petisyen desak AGC rayu keputusan tangguh hukuman Najib

14 Disember 2021

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan melancarkan petisyen dalam talian bagi menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) merayu penangguhan sabitan terhadap Najib Razak berhubung kes rasuah SRC International melibatkan penyelewengan dana RM42 juta.

Piagam Rakyat, diasaskan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, menuntut penjelasan daripada peguam negara (AG) dan pendakwa raya Idrus Harun berhubung perkara itu. "Kami menuntut peguam negara dan pendakwa raya merayu dan mencabar keputusan tambahan Mahkamah Rayuan terhadap penggantungan pelaksanaan hukuman denda dan penggantungan sabitan terhadap Najib Razak di dalam kes SRC sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan selesai. "Rayuan ini wajib dilakukan dalam tempoh 14 hari (selewat-lewatnya 22 Disember) setelah Mahkamah Rayuan membuat penghakiman pada 8 Disember yang lalu,"kata Piagam Rakyat. Piagam Rakyat juga mahu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh peguam negara atau pendakwa raya sebelum 22 Dis, bagi mengesahkan bahawa rayuan itu dilakukan dalam tempoh masa yang diperlukan. "Tuntutan di dalam petisyen ini perlu diambil tindakan oleh peguan negara bagi tujuan meleraikan isu keperlembagaan dan perundangan yang berbangkit. "Ini berdasarkan perbezaan pendapat pelbagai pihak berkaitan bahagian keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan yang telah membenarkan permohonan penggantungan hukuman denda berserta sabitan oleh pihak pembela, seperti yang dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini pada 11 Disember 2021 "Kami juga berharap peruntukan undang-undang sedia ada tidak digunapakai secara "licik" oleh mana-mana pihak untuk membenarkan Najib Razak bertanding pada PRU 15 sekiranya ia diadakan dalam tempoh proses rayuan di Mahkamah Persekutuan yang seterusnya bakal menimbulkan isu dan polemik di dalam urus tadbir pilihan raya negara dan akan mengelirukan rakyat," katanya.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta dana SRC International dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara minggu lalu, selepas panel tiga hakim mendengar rayuan Najib.

Mahkamah Rayuan, bagaimanapun, membenarkan penangguhan sabitan dan pelaksanaan hukuman terhadap Najib sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan. Susulan keputusan itu, persoalan dibangkitkan sama ada ahli politik daripada Umno itu masih layak bertanding dalam pilihan raya akan datang atau sebaliknya. Haniff Khatri sebelum ini menggesa Mahkamah Rayuan menjelaskan perkara berkenaan.


sumber -Malaysia Kini



bottom of page