top of page
  • zaman

Nilai ringgit susut berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR, 22 Feb- Nilai ringgit terus merosot berbanding dolar AS untuk hari kedua berturut-turut berikutan sokongan belian berterusan untuk dolar yang dianggap mata wang selamat, kata seorang penganalisis. Pada 9 pagi, ringgit menyusut nilai kepada 4.4400/4440 berbanding dolar AS daripada 4.4310/4345 penutup Selasa. Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata terdapat momentum yang lebih besar di sebalik konsensus yang semakin meningkat bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan mengekalkan kadar faedah lebih tinggi untuk tempoh lama dalam persekitaran ekonomi yang lebih kukuh. “Saham yang lebih lemah serta AS yang jauh lebih tinggi juga akan menjadi masalah kepada ringgit hari ini, justeru, mata wang tempatan itu dijangka bergerak lemah sejajar dengan Yuan China,” katanya kepada Bernama.


Beliau seterusnya berkata sentimen tempatan telah dijejaskan oleh kebimbangan yang semakin mereda mengenai kemelesetan AS, perkembangan yang mungkin akan menyebabkan Rizab Persekutuan berhenti menaikkan kadar sepenuhnya dan beralih kepada mod pemotongan kadar. Sementara itu, ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama. Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2933/2965 daripada 3.2910/2938 pada penutup Selasa dan rendah berbanding dolar Singapura menjadi 3.3147/3182 daripada 3.3117/3148 semalam. Ringgit turut merosot berbanding euro kepada 4.7322/7364 daripada 4.7230/7267 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.3857/3906 daripada 5.3531/3573 sebelumnya.-BERNAMA

bottom of page