top of page
  • newsatmy

"Nothing beats hard work"

Senator Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin

Menteri Kanan (Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia) dan Menteri Pendidikan Malaysia

Hari ini 24 tahun yang lalu.

Pada hari ini 24 tahun yang lalu, seorang budak kampung dari Ketereh telah menjejakkan kaki di bumi yang amat asing baginya, “Melben, Austrolia”. Malam sebelumnya, buat pertama kali dia meninggalkan bumi Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.


Itulah juga kali pertama budak kampung ini merasai pengalaman menaiki kapal terbang! Memakai “baju kot” dengan lencana “pelajar” tersemat di dada, budak kampung ini terbang bersama-sama dengan lima orang lagi sahabat, Mat Pet, Atan, Ija, Sheila dan Nissa. Mereka direzekikan menuntut ilmu di La Trobe University, Bundoora.

Dalam kalangan keenam-enam orang ini, budak kampung inilah yang paling tidak pandai berbahasa Inggeris. Namun, budak ini juga sentiasa mengingati pesan abahnya bahawa, untuk berjaya, kita mestilah berusaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh serta berdoa dan bertawakal kepadaNya.


Makna bersungguh-sungguh itu diselami dengan mendalam oleh budak kampung ini. Bukan bersungguh-sungguh baginya kalau masih ada kudrat yang boleh digagahi dan masih ada jalan yang boleh direntasi. Hanya apabila sampai ke dinding yang tidak dapat ditembusi lagi, barulah budak ini akan berhenti, berdoa dan bertawakal kepada yang Maha Esa.

Menyedari kelemahannya dalam Bahasa Inggeris, budak ini bertekad untuk berusaha sedaya upaya hingga habis reng dalam mendalami ilmu. Masa yang ada digunakan sebaiknya. Budak kampung ini sentiasa mengikuti kelas sepertimana yang dijadualkan.


Selain itu juga, budak ini akan tercegat di depan pintu pensyarah setiap kali waktu konsultasi untuk mendapatkan penjelasan berkaitan topik yang telah diajar. Sampai pensyarahnya boleh bekata, “Berdasarkan persediaan saudara, saya yakin Saudara akan dapat A”. Itulah rutinnya yang disulam dengan aktiviti persatuan serta riadah bersama sabahat-sahabat, termasuklah bermain bola sepak.

Alhamdulillah, budak kampung ini mendapat keputusan yang baik bagi Semester 1. Pada satu petang di awal Semester 2, budak ini berada di dalam dewan syarahan. Entah mengapa, hatinya merasa cukup gelisah dan tidak tenteram. Budak kampung ini mengambil keputusan untuk keluar dari dewan syarahan dan balik ke rumah.


Itulah pertama kalinya beliau tidak menghadiri kelas sejak berada di universiti. Sampai ke rumah, hatinya masih gundah gulana, tetapi tidak tahu mengapa.

Pada keesokan harinya, di sebelah malam, ketika budak ini berada di rumah sahabatnya, terdengar ada deringan telefon di rumah tersebut. Sewaktu itu, telefon bimbit merupakan sesuatu yang baharu dan tidak ramai yang memilikinya.


Jadi, telefon rumah merupakan alat komunikasi utama. Tuan rumah memanggil budak itu dan berkata “Bro, abang kau nak bercakap”. Dalam hati budak itu terdetik “Mengapa abang aku telefon?” “Mengapa telefon ke rumah kawan?” “Mesti ada perkara penting ni”. Apabila dijawab panggilan tersebut, abangnya bertanya khabar dan berkata, “Semua adik beradik ada di Ketereh ni. Kakak yang di Sabah pun ada balik”. Budak ini dapat menjangka ada sesuatu yang tidak kena. “Nak beritahu ni, Abah dah tiada”, ujar abangnya.


Tiada apa yang dapat diungkap ketika itu. Hanya deraian air mata yang membasahi pipi. “Abah meninggal semalam lagi, tapi telefon rumah tak dapat masuk line” kata abangnya. Rupanya, abah budak kampung ini meninggal dunia sekitar waktu yang sama di mana dia merasa cukup gelisah hari sebelumnya!

Di sebalik kesedihan kerana kehilangan abahnya ketika di perantauan dan beliau tidak boleh balik ke kampung, budak ini terus membulatkan tekad. “Aku mesti meneruskan langkah ini”. “Aku akan sentiasa ingat pesan arwah abah, 3B!”. Inilah azimat yang dipegang siang dan malam. Alhamdulillah, budak kampung ini mendapat keputusan yang baik pada Semester 2.


Tanpa dijangka, beliau mendapat surat daripada pihak universiti. Budak ini terpilih menerima anugerah sebagai salah seorang daripada tiga orang pelajar antarabangsa terbaik di dalam fakulti beliau.

Ini adalah sebahagian daripada coretan perantauan budak kampung yang lahir daripada sistem pendidikan kebangsaan. Budak kampung ini bukanlah ingin bercerita tetang kejayaannya. Tetapi menceritakan bahawa setiap daripada kita melalui halangan, cabaran dan dugaan berbeza. Apa yang penting, kita terus berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik. Selebihnya kita terus berdoa dan bertawakal kepada yang Maha Esa.

Kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan SPM, pak cik amat memahami pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi sepanjang tempoh setahun yang lalu.


Lakukanlah yang terbaik dalam ruang lingkup kekangan yang ada. Selebihnya sama-sama kita berdoa dan berserah kepada yang Maha Esa. Bila tiba hari peperiksaan untuk sesuatu kertas, maka tamatlah tempoh kita berusaha. Ketika itu, tenangkanlah perasaan kerana ruang untuk kita berusaha sebelum peperiksaan telah selesai. Ruang seterusnya untuk berusaha ialah sewaktu menjawab peperiksaan. Ikhtiarlah yang terbaik semasa menjawab soalan.


Selesai menjawab, maka selesailah ikhtiar kita untuk mata pelajaran tersebut. Selebihnya kita berserah dan bertawakal. Begitulah rutin untuk mata pelajaran berikutnya. Apa yang penting, ketika berusaha dan berikhtiar itu, kita mestilah sentiasa tenang.

Pak cik di KPM akan terus ikhtiarkan agar peperiksaan anak-anak dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat. Pak cik anak kampung, membesar di kampung, merantau mencari ilmu dan diamanahkan membangunkan pendidikan generasi pewaris negara.


Pak Cik tidak sempurna, tapi yakinlah anak-anak, kami di KPM sentiasa berusaha melakukan yang terbaik.

Terkini, KPM akan lancarkan saluran khusus TV Pendidikan pada hari Rabu, 17 Februari 2021. Kami juga akan menambahkan slot untuk anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan SPM 2020 mengikuti kelas yang diajar oleh guru-guru yang berpengalaman.

Sekali lagi, pak cik ucapkan Selamat Maju Jaya kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan SPM bermula pada 22 Februari ini.

bottom of page