top of page
  • newsatmy

#NoToLanun: "Orang ramai tak sedar mereka mencuri, anggap karya seni semuanya percuma" - Rosyam

13 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan undang-undang yang kuat dan serius perlu dilaksanakan jika masalah cetak rompak mahu dibendung.


Tanpa menafikan peranan orang ramai, pelakon dan penerbit prolifik, Datuk Rosyam Nor berpendapat, masalah itu sebetulnya berakar umbi pada ketiadaan penguatkuasaan yang tegas oleh pihak berwajib.


Menurut Rosyam, pihak berkuasa dan badan-badan berkaitan perlu memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab paling besar kerana tanpa penguatkuasaan undang-undang, persepsi cetak rompak bukan satu kesalahan tidak akan dapat disingkirkan.


"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kementerian-kementerian terbabit perlu memainkan peranan terbesar, termasuklah agensi-agensi atau badan-badan seperti Finas, harus melakukan satu rombakan akta secara besar-besaran di peringkat Parlimen.


"Bila mereka buat tak tahu, sebab itu masalah cetak rompak berlarutan dari dulu tanpa ada penyelesaian. Dulu zaman video cakera padat (VCD), cetak rompak sudah berleluasa tapi apa yang mereka buat?


"Sebab itu industri kita tak boleh bergerak jauh kerana orang yang tidak berkenaan yang membuat untung berlipat ganda.


"Jadi pihak berkuasa dan kerajaan kena bagi satu garis panduan dan mereka kena lihat industri hiburan sebagai industri yang menjana ekonomi negara," kata Rosyam atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Shamsuddin ketika dihubungi oleh Astro AWANI hari ini.


Selain itu, kempen pendidikan berterusan tentang impak cetak rompak, juga tegas aktor itu, perlu dijalankan bagi memastikan tahap kesedaran orang ramai berada di tahap paling tinggi.


"Mereka perlu disedarkan yang cetak rompak adalah mencuri. Masalah sekarang ialah orang ramai tidak nampak atau mungkin tidak sedar yang mereka sebenarnya mencuri bila ambil karya secara tidak sah. Mereka rasa hasil karya seni adalah benda percuma.


"Kalau kita boleh adakan kempen berterusan untuk sedarkan mereka bahawa ini adalah satu dosa, baik bagi yang Islam atau yang bukan Islam, dan disusuli pula dengan tindakan atau hukuman yang paling berat, kita boleh bendung masalah ini.


"Kita tengok sekarang, Astro sendiri menjadi mangsa cetak rompak apabila ada digital box yang dijual secara haram membolehkan orang tengok program Astro tanpa bayaran.


"Tetapi setegas manakah tindakan pihak berkuasa? Tiada tindakan drastik. Kalau ini berterusan sebuah syarikat besar yang banyak memberi keuntungan kepada penggiat industri, peniaga dan membuka peluang pekerjaan, akan runtuh," tegas pelakon filem KL Menjerit dan Castello ini lagi.


Tambah Rosyam, langkah seperti menurunkan harga hasil karya asli boleh difikirkan untuk dilaksanakan, namun ia tetap akan berbalik kepada isu penguatkuasaan dan kesedaran.


"Cara itu boleh menarik minat orang ramai tetapi ia perlu disertai dengan kempen dan penguatkuasaan juga. Kalau tak ada kedua-dua ini, bagi free pun orang akan ambil yang cetak rompak juga," katanya.

bottom of page