top of page
  • newsatmy

Oddie Agam meninggal dunia, Sheila Majid berduka

28 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR: Sebaik berita pemergian Oddie Agam ke rahmahtullah diperoleh, tiada apa yang mampu diungkapkan penghibur terkenal tanah air, Datuk Sheila Majid selain daripada menerima khabar duka itu dengan penuh redha.


Kesedihan tidak mampu dizahirkan apa lagi kala mengenang Allahyarham Oddie sebagai antara individu yang memainkan peranan di sebalik kejayaannya dalam industri hiburan termasuk ketika menawan pasaran muzik Indonesia.


Oddie merupakan pencipta lagu Antara Anyer dan Jakarta yang dipopularkan Sheila.


Kepada Sheila, Oddie telah mewarnai sebahagian daripada perjalanan seninya.


I feel very sad, like a part of my musical career is also gone! (Saya sangat bersedih, sepertinya sebahagian daripada karier muzik saya juga sudah berakhir),” kata Sheila dalam kiriman mesej kepada Astro AWANI.


Penyanyi yang sangat terkenal dengan lagu Sinaran itu mengulas pemergian rakannya, Allahyarham Oddie yang menghembuskan nafas terakhir di Jakarta pada 11 pagi ini.


Di mata Sheila juga, Oddie bukan sekadar pencipta lagu Antara Anyer dan Jakarta yang pernah dimasyhurkannya.


Sebaliknya, Allahyarham Oddie merupakan kenalan lama keluarganya.


Hubungan Sheila dengan Oddie sudah terjalin sebelum penyanyi senior Malaysia itu bergelar penyanyi lagi.


Justeru, Sheila mengakui, beliau bersama seluruh ahli keluarganya amat bersedih dengan pemergian sahabat mereka.


“Saya sudah lama mengenali arwah. Sebelum menjadi penyanyi lagi. Dia bukan saja salah satu pencipta lagu yang telah membawa nama saya ke Indonesia dengan lagu-lagyu seperti Antara Anyer dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Tua Sebelum Waktu, Begitulah Cinta dan beberapa lagu lagi, namun sebelum mengenali dia sebagai komposer, dia adalah rakan keluarga kami.


“Semoga Allah SWT mencucuhri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan segala dosa-dosanya dan menempatkannya bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” kata Sheila lagi.


Allahyarham Oddie menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Persahabatan di ibu negara Indonesia itu pada usia 68 tahun akibat kegagalan buah pinggang.


Pada 2017, Oddie atau nama sebenarnya, Imran Madjid pernah diserang angin ahmar.


Menurut laporan CNN Indoesia, berita pemergian Oddie disahkan rakannya, Stanley Tulung di akaun media sosialnya.


"Innalillahi wainnailaihi rojiun. Selamat jalan Bang Oddie Agam yang berpulang 27 Oktober 2021 jam 11.00. Semoga tenang di sana," tulis Stanley.


Allahyarham Oddie yang mula melibatkan diri secara profesional dalam industri muzik Indonesia pada 1984 memahat nama sebagai antara karyawan muzik disegani.

Comments


bottom of page