top of page
  • admin

PAC bincang keperluan siasat isu lewat penghantaran kapal OPV untuk APMM


KUALA LUMPUR, 17 Sep – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan membincangkan keperluan menyiasat isu kelewatan penyerahan tiga kapal peronda luar pesisir (OPV) kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).


Ahli Jawatankuasanya, Ahmad Hassan berkata, PAC sedang mengumpul maklumat berhubung kes itu.


“Ketika ini, PAC masih belum menjalankan sebarang siasatan secara rasmi membabitkan isu kelewatan projek berkenaan, namun kita akan lihat dan bincang secara bersama dalam mesyuarat nanti. Kita juga akan menilai keperluan menyiasat kerana ketika ini masa semakin suntuk untuk proses siasatan.


“Saya cakap begitu kerana khuatir siasatan akan terhenti di tengah jalan, sekiranya Parlimen dibubarkan.


“Jadi, kita kena tengok perkara ini dan jika pihak lain yang dilantik menjadi ahli PAC selepas ini, saya harap siasatan dapat diteruskan sehingga selesai, jika kita mulakan sekarang,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.


Khamis lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan sentiasa bersikap terbuka dan langsung tidak menghalang PAC menjalankan siasatan terhadap sebarang isu.


Selasa lalu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Mohd Zubil Mat Som berkata, tiga kapal OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan oleh syarikat tempatan, THHE Destini Sdn Bhd.


Katanya, pandemik Covid-19 turut menyumbang kepada kelewatan itu dan kapal OPV 1 dijangka diserahkan kepada Maritim Malaysia awal tahun depan, manakala OPV 2 serta OPV 3 diserahkan secara berperingkat.


Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa dilaporkan menggesa PAC menyiasat kelewatan penyerahan kapal itu bagi mengelakkan kes kapal tempur pesisir (LCS) berulang.

Comments


bottom of page