top of page
  • admin

Pada saat ini saya tidak lihat orang Melayu gembira dengan senario politik PH-BN


KUALA LUMPUR, 7 Jan – Pintu kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) hanya akan terbuka sekiranya kepimpinan koalisi itu adalah bersih daripada kelompok kleptokrat serta komited memperjuangkan agenda mengangkat kepentingan agama, bangsa dan negara.


Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau secara peribadi kurang bersetuju sekiranya agenda penyatuan dua koalisi terbesar itu hanya digerakkan menerusi idea kerjasama parti tanpa mengambil kira soal integriti kepimpinannya.


Jelasnya, PN dan BERSATU sehingga kini konsisten mengekalkan agenda perjuangan rakyat terutama dalam mempertahankan kepentingan kaum Melayu, Bumiputera dan kedaulatan agama Islam.


Beliau yang juga Timbalan Presiden BERSATU turut menuntut UMNO-BN membuktikan terlebih dahulu bahawa kepimpinan koalisi itu benar-benar bersih daripada amalan kleptokrasi, tidak menggadaikan prinsip demi kuasa serta selari dengan perjuangan membela rakyat dijuarai PN.

“Secara peribadi saya tidak bersetuju PN bekerjasama dengan UMNO-BN pada masa hadapan hanya berasaskan kehendak parti tanpa mengambil kira soal integriti dan prinsip kepimpinannya.

“Dengan kerajaan gabungan diketuai Pakatan Harapan (PH) dan BN tidak layak dianggap Kerajaan Perpaduan, pada saat ini saya tidak melihat orang Melayu gembira dengan senario politik sedia ada di mana pucuk kepimpinan UMNO seolah-olah menggadaikan prinsip parti demi meraih kuasa melalui penyertaan kerajaan sekarang.

“Dengan pengundi Melayu dan Bumiputera melihat PN merupakan parti alternatif paling konsisten memperjuangkan hak mereka, saya hanya bersetuju PN membuka pintu kerjasama dengan UMNO-BN setelah pucuk kepimpinan mereka bukan lagi terdiri daripada kelompok kleptokrat,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menegaskan koalisi itu berpendirian terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik pada masa depan termasuk BN.


Ketua Pembangkang Dewan Rakyat itu bagaimanapun enggan merujuk cadangan kerjasama itu sebagai Muafakat Nasional (MN) dan menegaskan ia hanya boleh direalisasikan jika semua pemimpin bersetuju dengan satu matlamat yang sama.


Pendirian Hamzah itu dibuat di tengah-tengah spekulasi satu gerakan politik dipanggil Langkah London kini sedang hangat diperkatakan melibatkan beberapa pemimpin PN dan UMNO.


Terdapat pihak tertentu mendakwa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan sulit bersama beberapa pemimpin UMNO di London bagi tujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ditanya mengenai dakwaan Langkah London dikaitkan dengan penglibatan Muhyiddin dan beberapa pemimpin PN, Ahmad Faizal enggan mengulasnya kerana menyifatkan perkara itu sebagai mengarut.

“Saya tidak berminat untuk ulas isu spekulasi sebegini. Ia menunjukkan seolah-olah mentaliti kita terlalu sempit sehinggakan orang pergi bercuti di luar negara pun dianggap cuba mengadakan gerakan politik sulit.

“Kalau begitu, selepas ini kalau saya singgah (kedai serbaneka) 7-Eleven pun, takkan dianggap Langkah 7-Eleven pula?” ujarnya.


Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan percaya PN dengan kekuatan parti-parti komponen sedia ada masih mampu mengekalkan momentum kejayaan koalisi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang tertangguh sebelum ini.

bottom of page