top of page
  • newsatmy

Pak Wan beri kata-kata semangat kepada 'frontliner'

3 Mei 2021

PUTRAJAYA – YB Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (TugasTugas Khas) mengadakan sidang video bersama-sama dengan Pengarah, Jawatankuasa Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID 2.0, serta petugas-petugas barisan hadapan yang berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS 2.0 dan PKRC Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini.


Berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan susulan pengumuman Kerajaan yang memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021, beliau ingin mendapatkan perkembangan terkini serta mengetahui keadaan sebenar para petugas dan pesakit daripada kedua-dua PKRC ini.


Dr. Shahbudin Ibrahim, Pengarah PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 memberikan taklimat dan laporan kepada YB Menteri berkenaan situasi terkini di sana serta tindakan yang diambil oleh mereka bagi menerima dan merawat pesakit.


Terbaharu beliau memaklumkan bahawa PKRC MAEPS Serdang mempunyai 2,985 pesakit, dan 57% Bed Occupancy rate (BOR). Sebuah PKRC MITC baru dibuka di Ayer Keroh pada 21 Mei 2021 telah diaktifkan untuk menempatkan pesakit berisiko rendah dan tidak bergejala.


Menurut Lt. Kol. (PA) Cuthbert John Martin Quadra, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka yang turut menghadiri sesi sidang video ini, sehingga 2 Jun 2021, PRKC MITC telah menerima seramai 662 pesakit dengan jumlah kapasiti katil sebanyak 1490.


Beliau turut mengulas lanjut akan reaksi baik susulan pengumuman YAB Perdana Menteri bahawa Menteri dan Timbalan Menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.


Menurut beliau, ini adalah satu langkah yang memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa kesusahan menjalankan kehidupan seharian perlu dipikul bersama dalam menghadapi pandemik COVID-19. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai kerajaan yang menyambut inisiatif YAB Perdana Menteri.


Sehingga 31 Mei 2021 sumbangan yang telah diterima adalah sebanyak RM67.1 juta menerusi Tabung COVID-19 yang merupakan tabung agensi di bawah portfolio beliau, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).


75% daripada sumbangan ini telah disalurkan menerusi Bantuan Khas Hilang Pendapatan, Bantuan Khas Pengurusan Kematian dan kepada Yayasan Kebajikan Negara bagi edaran bantuan Bakul Makanan.


Sebelum Datuk Seri Mohd Redzuan menamatkan sesi sidang video ini, beliau mendoakan kesejahteraan serta dikurniakan kesihatan oleh Allah S.W.T kepada semua agar dapat kembali menjalankan tugas seperti sedia kala.


Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada semua terutamanya kepada petugas barisan hadapan dan menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan tenaga dan masa yang diberikan.


Beliau juga turut berharap agar dapat bertemu mata sekiranya keadaan mengizinkan.



- PN Online

bottom of page