• newsatmy

Pakej bantuan untuk rakyat, sektor ekonomi akan diumum

29 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan susulan pelaksanaan 'full lockdown' atau perintah berkurung penuh Fasa Pertama bermula Selasa ini.


Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pakej bantuan itu sedang diperincikan Kementerian Kewangan dan akan diumumkan tidak lama lagi. "Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

"Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat," kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan 'total lockdown' Fasa Pertama menerusi penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.

Menerusi total lockdown atau perintah berkurung penuh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jika perintah berkurung penuh Fasa Pertama berjaya mengurangkan jumlah kes, ia akan disusuli pelaksanaan Fasa Kedua selama empat minggu, yang membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak membabitkan perhimpunan besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Ia kemudian disusuki pelaksanaan Fasa Ketiga, iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti berkuat kuasa ketika ini, di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

Keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM), berdasarkan perkembangan kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19.

Mengulas lanjut, Pejabat Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan sistem kesihatan awam di Malaysia tidak akan runtuh, dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini.

"Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

"Yang terbaik ialah duduk di rumah atau 'stay at home' untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19," katanya.


-Berita Harian