top of page
zaman

Pan Gon buru tiga mata berdepan Vietnam, jamin slot separuh akhir


HANOI,27 Dis: Malaysia memburu satu lagi kemenangan pada perlawanan ketiga Kumpulan B kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 menentang Vietnam di My Dinh National Stadium, di sini malam tadi.


Kemenangan ke atas skuad Golden Star Warriors itu akan mengesahkan Malaysia melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Myanmar dan Laos dalam dua aksi sebelum ini.


Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon berkata mendapatkan tiga mata berdepan Vietnam yang dibimbing rakan senegaranya dari Korea Selatan Park Hang Seo, akan membuka peluang lebih baik ke separuh akhir selaku juara kumpulan.

"Kita memerlukan tiga mata untuk mengesahkan tempat di separuh akhir selaku juara kumpulan.


"Seperti yang kita ketahui, Vietnam adalah pasukan terkuat di rantau ini, kami (pasukan kejurulatihan) tahu kekuatan dan juga kelemahan mereka, kita sudah beri semua maklumat itu kepada pemain," katanya ketika sidang media praperlawanan di Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) di sini pada Isnin.


Bagaimanapun, Pan Gon menjangkakan satu perlawanan sukar buat skuad kebangsaan berdepan pasukan seperti Vietnam yang sudah lama dibentuk dan bermain mengikut falsafah bola sepak terbaik.


Beliau berkata Vietnam juga mempunyai kelebihan beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi ketika berpeluang berdepan pasukan hebat dalam kejohanan peringkat tertinggi benua Asia sebelum ini.


"Tapi pasukan kebangsaan Malaysia juga sudah mengharungi pelbagai situasi getir serta bermain dalam perlawanan sukar. Kita tidak gentar dengan apa saja lawan di depan kita, kita akan menentang Vietnam sekuatnya," katanya.


Sementara itu, Pan Gon berkata Hang Seo adalah jurulatih bola sepak yang sangat dihormati di Korea Selatan dan ia satu penghormatan besar dapat bersaing dengan beliau dalam kejohanan ini.


Mengenai hubungan dengan jurulatih berusia 65 tahun itu, Pan Gon berkata mereka pernah bertemu beberapa kali ketika bersama kelab masing-masing di peringkat tempatan, selain pernah menghadiri majlis makan malam bersama.


"Beliau lebih senior daripada saya, dan pada saya jurulatih Park adalah seorang yang sangat menghormati dan warga Korea (Selatan) sangat menyayangi beliau. Saya bangga dapat bertanding di pentas yang sama dengan beliau," kata jurulatih negara berusia 53 tahun itu.


Pertembungan Malaysia-Vietnam malam esok, merupakan pertemuan pertama Pan Gon dan Hang Seo, kedua-duanya pengendali dari Korea Selatan, selepas Pan Gon mengambil alih skuad Harimau Malaya awal tahun ini.


Rekod pertembungan Malaysia-Vietnam, menyaksikan skuad Harimau Malaya belum pernah menewaskan Vietnam dalam semua kejohanan sejak lapan tahun - tewas enam kali dan seri sekali. Kali terakhir Malaysia mengatasi Vietnam adalah dalam aksi separuh akhir kedua pada edisi 2014, mencatat kemenangan 4-2.


Malaysia kini memimpin Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas menewaskan Myanmar 1-0 dan Laos 5-0 dalam dua aksi sebelum ini manakala Vietnam dan Singapura yang baru beraksi sekali di kedudukan kedua dan ketiga dengan tiga mata.


Myanmar dan Laos pula berada di kedudukan terbawah tanpa sebarang mata.

-- BERNAMA


Comments


bottom of page