top of page
  • newsatmy

Pandemik makin reda di seluruh dunia, tetapi tular makin pantas di Malaysia

8 Februari 2021

PARIS: Penularan pandemik Covid-19 semakin perlahan untuk minggu ketiga berturut-turut dan jumlah kes baharu kini di tahap terendah sejak akhir Oktober lalu, dengan jumlah jangkitan baharu turun separuh di Afrika Selatan, menurut pangkalan data khusus AFP.


Ini adalah situasi semasa Covid-19 di seluruh dunia:


Kurang daripada setengah juta kes sehari

Jumlah kes harian baharu merosot di bawah paras setengah juta untuk pertama kalinya sejak akhir Oktober lalu, iaitu 493,000 kes, menurut pengiraan AFP hingga Khamis.


Jumlah jangkitan baharu turun sebanyak 13% sepanjang minggu, setelah mencapai rekod 725,000 kes pada pertengahan bulan lalu.


Hampir setiap kawasan di dunia mengalami penurunan jumlah kes, dengan kes baharu menurun di Afrika sebanyak 27%, Amerika Syarikat dan Kanada (17%), Eropah, Amerika Latin dan Caribbean (12%), serta Asia (2%).


Bagaimanapun, jumlah kes baharu meningkat sedikit, iaitu 4% di Timur Tengah, sementara Oceania hanya mencatatkan 14 kes sehari (peningkatan 43%).


Jumlah kes yang disahkan hanya mencerminkan sebilangan kecil daripada jumlah jangkitan sebenar kerana setiap negara mempunyai amalan pengiraan dan tahap ujian berbeza.


Kejatuhan paling besar

Penurunan terbesar adalah di Afrika Selatan, negara yang paling teruk dilanda pandemik di benuanya – jumlah kes baharu turun sebanyak 49%, dengan 4,100 kes baharu setiap hari. Ini mengesahkan penurunan mendadak yang bermula minggu sebelumnya.


Negara tersebut, di mana varian koronavirus lebih mudah merebak dikesan, menyaksikan peningkatan kes pada akhir 2020, yang mendorongnya melaksanakan perintah berkurung pada akhir Disember.


Seterusnya, Lithuania mengalami penurunan besar sebanyak 37% (700 kes sehari), Mexico (35%, 10,600 kes), Jepun (31%, 3,000 kes), Panama (31%, 1,100 kes) dan Portugal (30%, 9,100 kes).


Lonjakan terbesar

Covid-19 menular dengan lebih cepat di Malaysia, dengan peningkatan jumlah kes sebanyak 30%, atau 4,800 kes baharu setiap hari, di antara negara yang mencatatkan lebih 1,000 kes setiap hari dalam seminggu lalu.


Ia disusuli Jordan dengan peningkatan sebanyak 27% atau 1,100 kes baharu, Peru (23%, 6,500 kes), Iraq (21%, 1,000 kes) dan Turki (16%, atau 7,400 kes).


AS masih rekod jumlah kes, kematian terbanyak

AS sekali lagi mencatatkan jumlah kes baharu paling tinggi, dengan purata 133,500 kes sehari, turun 17% berbanding minggu sebelumnya.


Ia disusuli Brazil dengan 48,200 kes, atau turun 7%, dan Sepanyol (29,800 kes, turun 16%).

Seterusnya, United Kingdom dengan 21,200 kes atau 26% penurunan dan Perancis (20,600 kes, peningkatan 1%).


Per kapita, Portugal tetap menjadi negara dengan jumlah jangkitan tertinggi, iaitu 622 kes dalam setiap 100,000 orang.


AS sekali lagi mencatatkan kematian terbanyak sepanjang minggu lalu, dengan purata 3,279 sehari, diikuti Mexico (1,111), Brazil (1,035), UK (1,018), Jerman (690), Rusia (507) dan Perancis (450).

bottom of page