top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Pandora Papers: Tengku Zafrul bukan lagi Pengarah Syarikat

13 Oktober 2021

Pandora Papers adalah dokumen yang mendedahkan kekayaan yang disembunyikan di luar negeri, sindiket pengecualian cukai dan aktiviti mencuci duit dari kalangan orang kaya dan berpengaruh di dunia. Data tersebut diperoleh oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) di Washington DC yang telah bekerjasama dengan lebih 140 organisasi media serta melibatkan 600 wartawan di 117 negara.


Pendedahan Pandora Papers merangkumi 6.4 juta dokumen, hampir tiga juta gambar, lebih dari satu juta e-mel dan hampir setengah juta spreadsheet. Ia juga melibatkan 14 sumber yang dipercayai yang diperoleh oleh agensi media dalam satu pendedahan yang paling mengejutkan minggu ini.


Minggu ini heboh di media tempatan apabila terdapat laporan dokumen Pandora Papers yang mendedahkan aktiviti sebahagian rakyat Malaysia yang datang dari latar belakang ahli politik dan usahawan yang menyimpan kekayaan mereka di luar negara.


Menurut Coconut KL yang memetik laporan MalaysiaKini, ia menyatakan bahawa antara ahli politik dan usahawan dari Malaysia yang didakwa terpalit dengan isu ini adalah Daim Zainuddin (bekas menteri kewangan dari tahun 1984 hingga 1991), Zafrul Aziz (Menteri Kewangan sekarang), Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO), Yamani Hafez Musa (Timbalan Menteri Kewangan), G Gnanalingam (ahli perniagaan Westport Holdings Sdn Bhd), William Leong (bekas ahli Parti Keadilan Rakyat), Mahmud Abu Bekir dan Hanifah Hajar Taib (anak gabenor Sarawak Abdul Taib Mahmud), Tiong Hiew King dan Tiong Ik King (ahli perniagaan IB Holdings Limited), Larry Low Hock Ping dan Goh Gaik Ewe, Lim Kok Thay (Ketua Genting Group).


Setakat ini, ada beberapa nama yang disebutkan di atas telah menafikan dakwaan bahawa mereka mempunyai kekayaan di luar negeri termasuk Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Zafrul Aziz.


Pembantu Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan, Menteri Kewangan itu bukan lagi pengarah syarikat luar pesisir yang didedahkan oleh Pandora Papers, yang turut mengaitkan sebilangan rakyat Malaysia terkemuka lain dengan urusan perniagaan luar pesisir.


Pendedahan data itu, yang terbesar seumpamanya melibatkan 2.94 terabait data yang diberikan secara rahsia kepada Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ), dan membabitkan hampir 12 juta dokumen serta rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan syarikat “shell” dan amanah di “syurga cukai” di seluruh dunia.


Menurut Malaysiakini, yang menerima maklumat daripada ICIJ, nama Tengku Zafrul muncul sebagai pengarah Capital Investment Bank (Labuan) Ltd, sebuah bank butik yang diperbadankan dalam bidang kuasa luar pesisir Labuan, dalam sejumlah dokumen daripada firma guaman Panama terkemuka, Alemán, Cordero, Galindo & Lee (Algocal).


Walaupun pembantu Tengku Zafrul berkata, beliau tidak lagi berperanan sebagai pengarah, tidak dinyatakan bilakah Menteri Kewangan itu meletak jawatan.

bottom of page