top of page
  • newsatmy

Paras air sungai di Johor tunjukkan trend meningkat

6 November 2021

JOHOR BAHRU: Bacaan paras air kebanyakan sungai di negeri ini masih terkawal iaitu pada ketinggian bawah tiga meter, sehingga jam 7 malam tadi.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis, berkata bagaimanapun, makluman Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia menunjukkan trend menaik di beberapa sungai.


Katanya, sehingga jam 8.45 malam tadi, Sungai Skudai di Kampung Laut, di sini, menunjukkan paras 2.45 meter, manakala Sungai Sedili Kecil, Kota Tinggi, pada paras 1.76 meter.


"Sebanyak 33 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dan sebuah Pos Bomba membabitkan 10 daerah negeri ini menjalankan rondaan dan pemantauan.


"Kawasan yang diberi tumpuan adalah kawasan titik panas banjir terutama di kawasan yang berhampiran dengan laluan sungai berisiko dinaiki air.


"Sehingga jam 7 malam tadi, bacaan paras air di kebanyakan sungai adalah terkawal, namun beberapa jalan dilimpahi air berikutan banjir kilat. Kenderaan ringan masih boleh melintas dan tiada mangsa dipindahkan setakat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, risalah Panduan Keselamatan di Air turut diedarkan kepada pengunjung di sepanjang Pantai Batu Layar dan Punggai, Kota Tinggi, supaya mengambil pendekatan bersiap sedia.


Katanya, sekiranya hujan lebat berlarutan, pindah segera ke tempat lebih selamat sebelum banjir semakin buruk.


"Sentiasa jaga keselamatan diri dan keluarga ketika proses pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya perlu, selain patuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan," katanya.



BH

bottom of page