top of page
  • Farah

Paras Air Sungai Gurun Lepas Tahap Bahaya


YAN, 16 Okt – Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan mencatatkan tahap bacaan 3.69 meter (m) yang melepasi paras bahaya pada jam 8 pagi, hari ini.


Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli, berkata setakat ini, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Yan sedang melakukan pemantauan di beberapa sungai di daerah itu termasuk di Kampung Perupok, Sungai Malai di Mukim Yan dan Kampung Singkir.


Beliau berkata, hujan lebat sejak semalam menyebabkan bacaan paras air sungai semakin meningkat.


“Pemantauan sedang dilakukan anggota APM Yan di sekitar kawasan tumpuan paras air naik dan ketika ini hujan masih renyai.


“Setakat ini paras air Sungai Singkir di Kampung Singkir Genting pula masih di paras normal iaitu 4.51m.


“Walaupun paras air di sungai terbabit masih terkawal, pihak APM masih melakukan pemantauan ketika ini dan dalam keadaan bersiap sedia,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Muhammad Zul Izzi berkata, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini dan keadaan cuaca masih dalam keadaan hujan renyai.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, paras bacaan air Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR (1.49m) dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya (1.55m) di daerah Kota Setar manakala Sungai Chepir di Kampung Ulu Jerai Namek, Sik (43.65m) sudah melepasi tahap waspada.


“Sungai di kawasan lain iaitu Sungai Bata di Kampung Bata (6.88m) dan Sungai Sintok di UUM, Sintok (42.15m) di daerah Kubang Pasu dan Sungai Padang Terap di Kuala Nerang (12.28m), Sungai Melaka di Bukit Kemboja di Langkawi (6.2m) dan Sungai Melaka di Padang Mat Sirat, Langkawi (2.66m) masih paras normal tetapi menunjukkan trend menaik.


Sementara itu, Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, APM Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata anggota APM di negeri ini akan terus melakukan pemantauan di kawasan yang berisiko dinaiki air dan menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

bottom of page