top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

"Parti pembangkang mengambil langkah untuk membentuk pakatan politik baharu" - Muhyiddin Yassin

4 April 2022

KUALA LUMPUR: Parti pembangkang mula mengambil langkah membentuk pakatan politik baharu bagi mengelak pertembungan pelbagai penjuru dalam pilihan raya umum akan datang.


Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau telah mengambil inisiatif untuk bertemu pemimpin tertinggi parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merealisasikan pakatan itu.


“Ini adalah langkah awal untuk mendapatkan pandangan pemimpin dan tiada keputusan muktamad dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.


Muhyiddin berkata langkah itu diambil sejurus selepas pilihan raya Johor apabila beliau didatangi beberapa pemimpin parti politik yang ingin bekerjasama.


Beliau berkata antara yang menemuinya adalah daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga.


Dalam satu kenyataan, Muhyiddin berkata pemimpin parti itu telah menyatakan pandangan mereka bahawa adalah lebih baik parti, selain Barisan Nasional (BN), membentuk pakatan pilihan raya bagi mengelak pertembungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


“Mereka sedar majoriti rakyat tidak menyokong BN yang masih tercemar dengan imej kleptokrasi.


“Namun, disebabkan pertembungan pelbagai penjuru antara parti politik yang bertanding menyebabkan undi anti BN berpecah.


“Ini telah menyebabkan BN memenangi pilihan raya negeri Melaka dan Johor, walaupun ditolak oleh majoriti rakyat.


“Mereka bersetuju bahawa pertembungan pelbagai penjuru mesti dielakkan pada PRU15 bagi mengelakkan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa.


“Pandangan serupa turut disuarakan oleh ramai penganalisis politik,” katanya.


Tambah Muhyiddin, pertemuannya dengan Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad diatur selepas seorang pemimpin kanan parti itu datang menemuinya.


“Pertemuan itu (dengan Dr Mahathir) adalah sebahagian daripada inisiatif itu,” katanya.


Pada 31 Mac, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan Bersatu telah mencadangkan kerjasama pilihan raya untuk menghadapi PRU15.


Mukhriz berkata Muhyiddin telah bertemu Dr Mahathir kira-kira dua minggu lalu selepas Pilihan Raya Negeri Johor untuk perbincangan awal.


Mukhriz berkata, setakat ini Pejuang tidak bersetuju dengan cadangan pakatan pilihan raya PRU15.

bottom of page