- admin
Parti yang begitu lama berkuasa pun takut dengan PN. Mengapa takut?

SHAH ALAM, 6 Okt – Kehadiran Perikatan Nasional (PN) yang dianggap ‘usia muda’ dalam landskap politik negara, amat ditakuti dan digeruni pihak lawan masa kini.
Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata terdapat usaha pihak-pihak tertentu cuba untuk memecah-belahkan perpaduan PN di negeri ini.
Kata Azmin, kepelbagaian parti dalam PN bukan satu masalah tetapi ia adalah aset amat besar dalam gabungan ini.
“Walau berlainan usia, BERSATU baru enam tahun, PAS sudah enam dekat dan Gerakan adalah parti sudah lama bertapak dalam politik negara.
“Orang paling kaya dalam negara pun takut dengan PN. Parti yang begitu lama berkuasa pun takut dengan PN. Mengapa takut? Ini parti usianya muda. Tetapi ingat, usia bukan halangan untuk menang dalam pilihan raya.
“Sebab itu musuh kita takut. Hari-hari kita diserang. Kita diserang bermakna kita kuat. Bila dipijak dan diinjak, bermakna kita relevan kepada masyarakat. Bila kita difitnah, bermakna kita ada kesan yang positif, impak yang cukup baik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Makan Malam Bersama Pengerusi Perikatan Nasional dan Penyerahan Watikah Ketua Badan Pimpinan Kawasan (Negeri Selangor), di sini pada Rabu.
Azmin turut menggariskan tiga faktor PN berjaya menguruskan kepelbagaian parti dalam PN, menerusi kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (BERSATU), Tan Sri Abdul Hadi Awang (PAS) dan Senator Datuk Dr Dominic Lau (Gerakan).
“Pertama, kepercayaan. Kita saling percaya di antara sesama pemimpin di dalam parti. Tidak ada syak wasangka. Kita tidak buat tuduhan yang tidak berasas.
“Kedua, saling hormat-menghormati. Memang ada perbezaan dan memang ada pandangan yang berlainan namun ketiga-tiga tokoh besar ini sentiasa berlapang dada untuk berbincang dengan tulus ikhlas dalam membuat satu keputusan yang terbaik untuk rakyat.
“Ketiga, faham isu rakyat. PN faham denyutan nadi rakyat yang susah, menderita dan yang perlukan bantuan. Bagaimana mungkin kleptokrat boleh tahu rakyat susah di bawah?
Bagaimana parti yang bergelumang dengan rasuah boleh faham masalah di kampung dan di desa?
“Yang faham masalah rakyat dan terbukti membela rayat adalah Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Jelas Azmin, seluruh jentera dan ahli parti dinasihatkan tidak termakan dengan fitnah pihak lawan menjelang pilihan raya.
Sebaliknya, kata Azmin, mereka perlu bersabar, bertabah dan yakin dengan perjuangan dalam memenangkan PN pada PRU15 nanti.
“Maka, janganlah gundah-gulana.
“Lagi dekat PRU, lagi kuat fitnah mereka. Tetapi, kalau kita sabar, tabah dan yakin dengan apa yang kita perjuangkan, Insyallah bukan sahaja Selangor milik kita, tetapi Malaysia milik PN,” katanya.