top of page
  • newsatmy

Pas akur pengorbanan BERSATU


ALOR SETAR, 1 Sept – PAS menegaskan pihaknya tidak boleh mengenepikan BERSATU dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana parti itu melakukan pengorbanan besar untuk mereka terus kekal menjadi kerajaan pada hari ini.


Justeru, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu sudah memutuskan untuk terus memperkukuh gagasan Perikatan Nasional (PN) sebagai platform kepada parti itu bagi mengadapi PRU15 yang akan diadakan kelak.


Namun, kata beliau, terdapat beberapa kerusi Parlimen yang masih kekal perlu dibincangkan dengan parti lain yang tidak ekstrem bagi mengelak kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Keberadaan kita dalam Kerajaan Persekutuan hasil daripada rakan-rakan kita (BERSATU) yang keluar daripada PH, kita sedar, betapa besar perjuangan dan pengorbanan mereka. Sebab itu bagi kita, apa jua muafakat politik, kita tidak boleh ketepikan rakan kita dari BERSATU, tanpa mereka UMNO pun tak mungkin duduk dalam kerajaan hari ini.

“Tak akan tiba-tiba menang jadi kerajaan, tiba-tiba nak ketepi rakan-rakan kita, kita kawan waktu susah senang dalam menghadapi situasi ini. Muafakat politik bukan sementara tapi menentukan hala tuju ke mana nak dibawa rakyat dan negara

“Pemuda PAS perlu siap sedia dalam apa pun situasi yang ada dan parti akan buat keputusan penting dalam bulan ini juga dan kita tak akan berganjak untuk memperkukuh PN sebagai platform hadapi PRU15,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-63 di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PAS melalui PN tidak takut untuk menghadapi PRU15 dan bersedia berdepan apa jua situasi yang mendatang pada pilihan raya berkenaan.

“Kita terbuka jika (ada) orang ingin berbincang dan berunding (dan) kita sedia bertempur dalam semua situasi kalau sekiranya itu menjadi pilihan.


Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya sudah menubuhkan jawatan kuasa perundingan kerusi di bawah PN dengan perbincangan mengenai pembahagian itu sudah dimulakan.

“Kita dah mula bincang, Alhamdulilah, ruang perbincangan sangat mudah dan baik, muafakatnya sangat utuh, kita yakin boleh selesai dalam dua ke tiga kali sesi perundingan lagi selepas ini,” katanya.

bottom of page