top of page
Farah

PAS sedia berdepan PRU15


KUALA LUMPUR,10 OKT: PAS menerima seadanya keputusan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.


Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata susulan dari pengumuman itu, pihaknya menyatakan kesediaan jentera parti berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam tempoh 60 hari serta kesiapsiagaan berdepan bencana.


“Jentera PAS telah bersiap siaga daripada awal lagi, iaitu Jentera Pilihan Raya dan Jentera Penerangan PAS.


“Cuma sementara itu, kita juga akan memastikan jentera Jabatan Amal Malaysia bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, selepas pengumuman Ismail Sabri, sebentar tadi.


Berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri dikuasai PAS, kata Khairil Nizam, PAS setakat ini mengambil pendirian untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah.


Beliau juga meminta supaya ahli PAS bertenang dan fokus untuk menghadapi PRU15 sementara arahan dan ketetapan parti akan dikeluarkan sejurus setelah keputusan dicapai peringkat pimpinan parti.


Katanya, mesyuarat mengenai tindakan dan keputusan PAS seterusnya akan diadakan dalam masa terdekat tanpa memaklumkan waktu dan hari tertentu.


Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Comments


bottom of page