• newsatmy

Pas setuju tangguh pelaksanaan undi 18: Abdul Hadi

26 Mac 2021 MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersetuju terhadap penangguhan pelaksanaan undi 18 kerana usia itu bukan penentu kematangan bagi rakyat negara ini memilih kerajaan.


Pada masa sama beliau menegaskan, penangguhan undi 18 tahun tidak akan memberi kesan kepada Pas.

"Undi bergantung kepada tahap kematangan. Jangan kira undi 18 tahun sahaja. Mestilah ada kematangan. Kita tidak boleh terpengaruh dengan barat.


"Konsep demokrasi barat bergantung pada tahap umur, bukan kematangan. Sebab itulah apabila sesuatu proses pertimbangan berlaku ia bergantung kepada kematangan bukan usia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah secara dalam talian di Masjid Rusila di sini, pada Jumaat.


Abdul Hadi bagaimanapun tidak menafikan, faktor kematangan adalah perkara subjektif.


"Kematangan boleh berlaku pada usia 16 tahun, 18 tahun, boleh berlaku 25 tahun pun ada orang yang tak matang lagi pun ada,


"Tidak ada masalah kepada Pas sebab yang kita mahu ialah rakyat yang matang dan sudah semestinya rakyat matang akan memilih kerajaan matang. Kalau rakyat itu mentah, sudah pasti mereka akan pilih kerajaan mentah," katanya.


Pada Khamis, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.


Abdul Ghani berkata, ia selepas pihaknya menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR. -Sinar Harian