top of page
  • newsatmy

PAS, Umno Kelantan bincang hubungan Muafakat Nasional

25 Disember 2021

KOTA BHARU: PAS Kelantan akan mengadakan pertemuan dengan Umno Kelantan dijangka minggu depan bagi membincangkan hala tuju hubungan kedua-dua parti dalam Muafakat Nasional (MN). Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pihaknya menerima surat daripada Pengerusi Badan Perhubung Umno Kelantan, Dato’ Ahmad Jazlan Yaakob minggu lalu.


“Kita sudah terima surat cuma kita tunggu untuk mengadakan mesyuarat, insya-Allah kita akan adakan mesyuarat untuk melihat perkara terbaik mengenainya. Ini perbincangan peringkat negeri.

“Kita akan membincang perkara itu dalam pertemuan nanti,” katanya selepas perasmian Misi Pemulihan Bantuan Banjir ke Pahang di perkarangan MABNA Membangun Bersama Islam (MBI) Kompleks Kota Darulanim di sini hari ini.


Umno Kelantan sebelum ini menghantar surat rasmi kepada PAS Kelantan bagi mengadakan pertemuan untuk membincangkan hala tuju dan memuktamadkan kedudukan gabungan itu.

Ahmad Jazlan dilapor berkata, MN yang diikat antara PAS dan Umno pada September 2019 itu kini dilihat tergantung tidak bertali.


Sebelum ini dapat banyak kenyataan pemimpin utama PAS menegaskan parti itu mempertahankan MN dan meperkasakan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan hak orang Islam bukan Melayu terbela.


Malah perkara itu juga diputuskan pada muktamar yang diadakan di Kuala Terengganu November lepas.

bottom of page