top of page
  • newsatmy

Pastikan ekonomi dibuka secara optimum - Penganalisis

12 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Pembukaan sektor ekonomi secara berterusan dan optimum akan memastikan pemulihan ekonomi yang terganggu akibat pandemik COVID-19 dapat diteruskan.


Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan Perkeso, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari menjelaskan, ia perlu dipastikan dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi selain kepatuhan sepenuhnya kepada peraturan berkenaan.


Jelasnya, perbelanjaan isu rumah juga meningkat pada suku pertama tahun ini berbanding suku terakhir tahun lepas.


"Ini menandakan perbelanjaan pada sukuan pertama lebih tinggi berbanding sukuan keempat 2020. Begitu juga perbelanjaan sukuan kedua 2021 ini dijangka lebih tinggi disebabkan sambutan Ramadan dan perayaan, walaupun sedikit terganggu oleh kerana pandemik tetapi kita melihat perbelanjaan itu berlaku.


"Tetapi bergerak ke hadapan saya lihat sukuan berikutnya, saya lihat sektor ekonomi dibuka, selagi mana sektor pekerjaan dibenarkan untuk beroperasi, saya tidak nampak satu kekangan besar atau satu perkara yang membatasi perbelanjaan isi rumah itu," katanya semasa sidang video pada Selasa.


Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut secara marginal 0.5 peratus pada suku tahun pertama 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.


Bagaimanapun katanya, KDNK pada suku pertama tahun ini menunjukkan pemulihan berbanding suku keempat tahun lalu dengan pertumbuhan negatif 3.4 peratus.


Dalam pada itu kata Dr Mohd Yusof, momentum peningkatannya tidak akan terlalu besar kerana negara masih bergelut dengan pandemik.


Situasi akan berbeza jika jumlah jangkitan dapat dilandaikan dan memastikan sektor ekonomi bergerak secara optimum.


-Astro Awani

bottom of page