top of page
  • newsatmy

PAT Bersatu 2020: Ucapan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Updated: Nov 30, 2020

BERSATU MENGEMUDI PENYATUAN, MEMBINA KEKUATAN




“Ada yang berpendapat Belanjawan 2021 perlu ditolak untuk membolehkan Pilihan Raya Umum diadakan. Tak perlulah buat begitu. Kalau tanya saya, mungkin semalam lagi saya menasihatkan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya bubarkan Parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan. Tetapi kita semua tahu masalahnya ialah Covid-19. Insya-ALLAH, jika diizinkan ALLAH apabila pandemik Covid-19 berakhir, kita adakanlah pilihan raya umum."

Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera


YB Pengerusi Tetap


YAB Timbalan Presiden


YB Naib-Naib Presiden



YB Ketua Srikandi


YB Ketua Armada


YB Setiausaha Agung


YBrs Ketua Penerangan



YBhg Bendahari Agung


Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi


Ahli-Ahli Jawatankuasa Srikandi dan Armada


Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian, Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sekalian sihat walafiat


1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya kita dapat bersamasama menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diadakan secara maya pada hari ini. Ini adalah kali pertama dalam sejarah persidangan parti diadakan secara maya kerana keperluan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP yang sedang berkuatkuasa di negara kita.


2. Walaupun persidangan ini diadakan secara maya, saya percaya semangat dan keterujaan kita semua untuk menunaikan tanggungjawab penting sebagai perwakilan ke perhimpunan agung parti tetap membara. Kita tunjukkan semangat kita ini dengan berpakaian lengkap dan hadir di tempat-tempat yang telah ditetapkan oleh parti untuk mengikuti perhimpunan agung ini. Dari Perlis hingga ke Sabah, saudara-saudari berhimpun dengan satu semangat dan tujuan untuk memperbaharui tekad menegakkan perjuangan parti kita yang kita cintai ini. 3


3. Saya berasa agak terkilan kerana tidak dapat bertemu mata dan berjabat tangan dengan saudara dan saudari sekalian seperti kebiasaan dalam perhimpunan-perhimpunan agung parti sebelum ini. Namun kita harus terima hakikat bahawa inilah norma baharu yang perlu kita amalkan dalam tempoh kita masih sedang berperang melawan COVID-19. InsyaAllah, walaupun kita jauh di mata, tetapi pastinya kita semua sentiasa dekat di hati.


4. Marilah kita sama-sama doakan semoga wabak COVID-19 yang sedang melanda negara kita pada ketika ini segera berakhir. Mudah mudahan pada tahun hadapan kita akan dapat mengadakan perhimpunan agung secara fizikal seperti biasa dalam suasana yang tentunya lebih meriah.



5. Di awal ucapan saya ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua barisan kepimpinan parti dalam Majlis Pimpinan Tertinggi, sayap Armada dan Srikandi, serta kepimpinan Bahagian dan Cawangan di seluruh negara yang telah memenangi pemilihan parti yang diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Mudah-mudahan saudara dan saudari semua dapat menjalankan amanah dan menunaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.


6. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua barisan kepimpinan parti bagi penggal yang lalu atas segala sumbangan dan jasa bakti anda kepada parti.


7. Di kesempatan ini, saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran YB Dato’ Seri Azmin Ali dan rakan-rakan mantan pimpinan Parti Keadilan Rakyat yang telah menyertai BERSATU ke Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU buat pertama kalinya pada tahun ini. PENUBUHAN PERIKATAN NASIONAL Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian.


8. Beberapa bulan yang lalu merupakan satu tempoh yang amat mencabar buat parti kita. Pada masa ini pun kita masih berhadapan dengan cabaran yang getir. Bahtera parti kita yang masih baharu seolahnya dilanda badai yang ganas di lautan yang bergelora. Satu demi satu cabaran kita hadapi dengan cekal dan sabar.


9. Tiada siapa yang menduga bahawa kita semua diletakkan dalam satu keadaan yang agak rumit yang menuntut kita untuk mengambil banyak keputusan dan tindakan secara berhemah dan berhikmah. Saya sendiri banyak bertawakkal kepada Allah dan reda akan ketentuan-Nya

dalam banyak keputusan yang saya ambil untuk mengemudi parti.


10. Saya tahu hala tuju dan masa depan parti kita amat bergantung kepada bagaimana kita mengemudi parti dalam suasana yang mencabar kebijaksanaan barisan pimpinan parti dan kesabaran ahli-ahli.


11. Misalnya, ijtihad kita untuk meninggalkan Pakatan Harapan dan membentuk Perikatan Nasional bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibuat, bahkan lebih sukar untuk kita laksanakan. Tetapi hakikatnya, keputusan ini telah membuka lembaran baharu buat parti kita yang kita yakini selari dengan matlamat perjuangan parti dan menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk agama, bangsa dan negara kita.


12. Alhamdulillah, berkat kecekalan dan kesabaran kita, Perikatan Nasional telah tertubuh dengan rasminya pada 7 haribulan Ogos 2020 dengan dianggotai oleh BERSATU, PAS, STAR dan SAPP. Saya amat berterima kasih kepada pucuk pimpinan PAS, STAR dan SAPP yang telah sudi untuk bersama-sama BERSATU menjadi parti anggota pengasas atau founding members Perikatan Nasional. Penubuhan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik baharu atau a new political coalition adalah satu pencapaian penting dalam sejarah politik negara kita yang pastinya akan melakar banyak kejayaan dalam waktuwaktu yang mendatang, insya-Allah.


13. Penubuhan PN adalah satu wawasan politik yang penting buat kita semua. It is an important political vision for all of us. PN yang menggabungkan BERSATU dan PAS dalam sebuah gabungan politik di peringkat nasional akan menjadi sumber kekuatan politik yang penting bagi orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini. Pada masa yang sama, kita juga mempunyai rakan politik dari parti STAR dan SAPP yang mewakili masyarakat Bumiputera dan Bukan Bumiputera di Sabah.


14. Insya-Allah, kita juga sedang menimbang permohonan daripada parti-parti politik lain yang berhasrat untuk menyertai PN dalam masa terdekat yang akan menjadikan PN sebagai sebuah gabungan politik yang berciri nasional serta mewakili kepentingan seluruh rakyat Malaysia.


15. Asasnya mudah. Kita tidak boleh bersendirian. Kita memerlukan rakan-rakan dari parti-parti politik yang lain untuk menghadapi pilihanraya dan membentuk kerajaan. BERSATU jika bertanding secara bersendirian, mungkin boleh menang kerusi, tetapi tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.


Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,


16. Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu, saya membuat keputusan untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional buat pertama kalinya dalam pilihanraya. Ramai yang agak meragui keputusan ini. Maklumlah, PN adalah parti yang baharu. Lambang PN tak dikenali berbanding parti-parti lain yang lebih lama.


17. Tetapi saya mengambil risiko. Saya bertawakkal kepada Allah. Jika PN dapat diterima di Sabah, saya yakin PN dapat diterima oleh rakyat di seluruh negara. Kita cetak bendera, baju, topi dan lain-lain dengan logo PN. Agak mengujakan, PN walaupun sebuah parti yang baharu telah diterima dengan baik oleh rakyat di negeri Sabah. Ke mana-mana saya pergi ketika berkempen, bendera PN berkibar megah di seluruh pelosok negeri Sabah di mana calon kita bertanding.


18. Apa sebab mereka menerima baik PN? Sebabnya kerana imej PN sebagai a functioning government - sebuah kerajaan yang berfungsi dengan kepimpinan yang prihatin, amanah dan mengutamakan kebajikan rakyat.


19. Hasilnya, PN menang 17 daripada 29 kerusi yang ditandingi dan bersama-sama dengan parti-parti rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah yang dianggotai oleh PN, BN dan PBS, kita telah berjaya membentuk kerajaan negeri Sabah yang baharu. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua barisan pimpinan dan ahli-ahli BERSATU negeri Sabah dan semua pihak yang telah membantu kemenangan parti kita dalam pilihanraya negeri Sabah yang lalu. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Mohd Noor, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah yang telah dilantik

sebagai Ketua Menteri Sabah.


20. Saya percaya, dalam pilihanraya umum yang akan datang, Perikatan Nasional akan diterima baik oleh rakyat Malaysia. Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan penerimaan rakyat Malaysia terhadap PN adalah tinggi. Oleh yang demikian, BERSATU telah membuat keputusan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum

ke-15.


Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,


21. Saya dinasihat supaya jangan banyak bercakap soal politik pada masa ini kerana rakyat sedang susah. Masalah COVID, masalah ekonomi, jadi takkanlah Perdana Menteri nak bercakap soal politik. Kerana itu saya sebelum ini banyak berdiam diri dan kurang menyentuh

tentang hal politik.


22. Tetapi hari ini adalah hari Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU diadakan. Saya percaya saudara dan saudari perwakilan semua berhak untuk tahu apa situasi politik yang sedang kita hadapi pada masa ini, dan apa hala tuju parti kita di masa hadapan. Ini adalah pentas politik. Jadi biarlah saya bercakap soal politik secara berterus terang pada hari ini.


23. Apa yang saya nak sentuh ialah tentang hubungan antara BERSATU dan UMNO. Ada yang mengatakan bahawa hubungan antara kedua-dua parti ini agak hambar, tidak mesra, tidak akrab. Seolahnya, masih belum ada chemistry antara BERSATU dan UMNO.


24. Maklumlah, sebahagian dalam BERSATU termasuk saya sendiri dahulunya dari UMNO juga. Kemudian ada rakan-rakan yang lain dari UMNO menyertai BERSATU. Saya tidak mahu mengungkit kisah silam. Itu telah menjadi sejarah.


25. Tetapi hakikatnya telah terpahat dalam lipatan sejarah, BERSATU dan UMNO menjadi seteru politik. UMNO di sebelah sana, BERSATU di sebelah sini. Dalam pilihanraya kita bertembung antara satu sama lain. Jadi, mungkin luka masih berdarah. Parut masih berbekas.


26. Tetapi takdir Allah s.w.t. mempertautkan BERSATU dan UMNO. Krisis politik yang berlaku pada awal tahun ini tidak semena-mena meletakkan BERSATU dan UMNO dalam satu saf politik yang sama. Daripada seteru politik di dalam Pakatan Harapan, kita menjadi rakan

sekutu dalam Kerajaan.


27. Saya tahu mungkin ada pihak yang tidak selesa dengan keadaan ini. Seolahnya, mereka dipaksa atau terpaksa untuk bekerjasama. Maka, timbullah bermacam-macam perkara yang tidak elok didengar dalam hubungan antara kedua-dua parti ini.


28. Saya sedar hal ini menyebabkan kita berada dalam satu situasi yang agak sukar dan mencabar. It is a difficult and challenging situation.


29. Tetapi dalam keadaan yang mencabar ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari untuk berfikir sejenak. Cuba kita renungkan. Fikir dalam-dalam. Adakah takdir Allah s.w.t. yang mempertautkan BERSATU dan UMNO, termasuk juga PAS, dalam satu saf politik ini berlaku begitu sahaja tanpa ada apa-apa hikmah di sebaliknya? Tidakkah kita terfikir bahawa Allah s.w.t. sebenarnya sedang menguji kita?


30. Sepertimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Mulk, Ayat 2:



Yang bermaksud:

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);


31. Dan firman-Nya lagi dalam surah Ali-Imran, Ayat 26:


Yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang

menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


32. Saudara dan saudari sekalian, sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya sedang diuji oleh Allah. Baik dalam keadaan kita mempunyai kuasa pemerintahan atau sebaliknya, Allah menguji kita. Sama ada kita menerima hakikat bahawa dalam setiap kekuasaan dan ketentuan-Nya itu ada kebaikannya. Ada hikmahnya. Jika kita dapat menerima hakikat ini, walau sepahit mana pun hakikat itu, insya-Allah kita akan diberikan kemuliaan oleh Allah s.w.t.


33. Kemelut politik yang sedang kita hadapi ini adalah satu bentuk ujian yang didatangi oleh Allah s.w.t. kepada kita. Sebagai seorang Islam, saya percaya ada kebaikan di sebalik ujian getir ini. Di hadapan kita terbentang luas peluang untuk kita mempersatukan umat Melayu dan Islam di negara kita yang telah mengalami perpecahan politik sejak sekian lama.


34. Sedarlah, krisis politik yang berlaku di negara kita pada awal tahun ini telah mempertautkan pimpinan politik Melayu dalam BERSATU, UMNO dan PAS dalam satu saf politik yang sama. Pada saya, pertautan ini adalah satu langkah awal untuk mewujudkan penyatuan ummah yang lebih besar.


35. Justeru, saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan mengajak saudara-saudari sekalian supaya melihat maslahah yang lebih besar, kepentingan yang lebih utama. Alangkah baiknya jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah-belah dalam kabilah-kabilah kecil yang melemahkan kita.


36. Ya, jika kita hanya memikirkan kepentingan kabilah kita, kelompok kita, parti kita, maka selama-lamanyalah kita akan berpecah-belah. Seruan perpaduan Melayu, penyatuan ummah akan menjadi retorik semata-mata. Malay unity will always remain an elusive dream. It will

never materialize in our lifetime.


37. Apalah salahnya jika kita rebut peluang yang didatangi oleh Allah s.w.t menerusi ujian-Nya ini untuk memperkukuhkan penyatuan antara kita. Inilah masanya untuk semua pemimpin Melayu mengetepikan perbezaan politik dan bangkit mempertautkan hubungan silaturrahim dalam semangat ukhuwwah dan mahabbah demi maslahah yang lebih besar, iaitu penyatuan umat Melayu di negara ini, Insya-Allah. Saya percaya penyatuan umat Melayu akan mewujudkan kestabilan politik di negara ini yang pastinya akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat.


38. Untuk makluman para perwakilan sekalian, beberapa hari yang lalu saya telah mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, YB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Kami berbincang dari hati ke hati, bercakap secara terus terang. Kami sedar hubungan antara BERSATU dan UMNO mesti diperbaiki. Usahausaha mesti dibuat untuk mewujudkan keakraban antara BERSATU dan UMNO dari peringkat kepimpinan tertinggi hinggalah ke Bahagian dan Cawangan.


39. Saya tahu usaha ini bukanlah mudah. Tetapi saya yakin inilah jalan yang terbaik. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 10.


Yang bermaksud:

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.


40. Seperkara lagi yang dipersetujui bersama ialah untuk memperkukuhkan hubungan antara BERSATU, UMNO dan PAS. Ketiga-tiga parti ini mestilah saling memperkukuh dan memperkuatkan antara satu sama lain. Tidak boleh berpecah. Tidak boleh bertembung. Tidak

boleh memilih haluan yang berbeza.


Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,


41. Sebaik-baiknya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti, tidak akan berlaku pertembungan tiga penjuru antara parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional dalam menentang parti lawan yang lain. Untuk itu, program-program bersama akan diatur di peringkat pusat, negeri dan akar umbi untuk mewujudkan hubungan kerjasama yang lebih erat antara parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional.


42. Saya juga ingin mencadangkan supaya pertemuan antara KetuaKetua parti yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional diadakan secara lebih kerap. Mungkin sudah sampai masanya sebuah Majlis Presiden yang dianggotai oleh Ketua-Ketua parti dalam Perikatan

Nasional, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah diwujudkan. Mesyuarat secara berkala boleh diadakan untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan dasardasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain.


43. Ini penting kerana tidak semua Ketua Parti berada di dalam Kabinet. Menerusi mesyuarat ini, setiap Ketua Parti boleh menyampaikan pandangan parti masing-masing mengenai dasar-dasar utama Kerajaan untuk diambil perhatian oleh Kabinet dalam membuat sesuatu keputusan.


44. Jadi, saya hendak beritahu saudara dan saudari para perwakilan sekalian, hala tuju parti kita di masa hadapan ialah untuk memperkukuhkan hubungan antara parti-parti dalam Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat

Sabah.


45. Inilah masa depan kita. Inilah jalan yang kita pilih. Jalan ini mungkin berliku. Ada onak dan duri di sana sini. Ianya mungkin sukar dan mencabar kesabaran kita. Tetapi yakinlah janji Allah s.w.t. seperti yang disebut di dalam Al-Qurán:



46. Oleh itu, marilah kita sama-sama doakan semoga jalan yang kita pilih ini dipermudahkan Allah serta diberkati dan dirahmati oleh-Nya. Amin, Amin ya rabbal alamin.


Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,


47. Pada hari ini saya ingin mempertegaskan kembali prinsip pertama yang digariskan dalam perjuangan BERSATU iaitu menegakkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Agenda ini kita laksanakan dengan mengutamakan pendekatan yang sederhana, termasuk menghormati hak

orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masingmasing secara aman dan harmoni.


48. Saya sedar bahawa melaksanakan prinsip mempertahankan Islam ini bukanlah suatu tugas yang mudah. Negara kita telah memasuki era Revolusi Industri 4.0 dengan pelbagai bentuk cabaran baharu yang kompleks serta mencabar bukan sahaja akidah umat Islam, malah mengganggu-gugat aspek-aspek syariah dan akhlak.


49. Ancaman fahaman sekularisme, pluralisme dan liberalisme terhadap kesucian Islam merupakan fahaman-fahaman yang terus mencabar pegangan ahlu sunnah wal jamaah umat Islam di negara kita. Fahaman-fahaman ini meresapi pemikiran umat Islam menerusi wacana-wacana yang bersifat keilmuan, walaupun sebenarnya agak menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.


50. Justeru, dalam kita hendak melaksanakan Islam di Malaysia, kita hendaklah sentiasa berpegang teguh kepada prinsip mempertahankan akidah umat Islam menerusi pendekatan yang berasaskan ilmu atau knowledge-based approach dan dengan cara yang paling berhikmah.


51. Hanya dengan ilmu dan pendekatan yang berhikmah maka kita dapat berusaha menjadi contoh ikutan buat masyarakat Islam dalam melaksanakan cara hidup Islam yang bersesuaian dengan realiti semasa di Malaysia, tanpa mengorbankan prinsip-prinsip asas Al-Quran dan AsSunnah yang kita pegang selama ini mengikut tradisi para anbiya’ dan alim ulama di sepanjang zaman.


52. Selepas lebih 60 tahun negara kita merdeka, tugas dan tanggungjawab para pemimpin hari ini ialah untuk terus mempertahankan Islam sebagai suatu cara hidup yang syumul dan tidak terpisah daripada nilai yang kita amalkan dalam kehidupan seharian kita.


53. Islam di negara kita juga perlu terus berfungsi sebagai suatu civilizing force – yakni kuasa yang membentuk pemikiran dan peradaban umat Islam di rantau nusantara ini, selain terus menjadi paksi perpaduan ummah di negara kita yang amat dituntut dalam mendepani cabaran

semasa.


54. Apabila kita berusaha merealisasikan prinsip-prinsip dalam agama Islam, maka masyarakat akan dapat melihat penzahiran ketinggian Islam, sesuai dengan hadis Rasulullah SAW “Al-Islamu ya’lu wa la yu’la alaih” yang bermaksud, “Islam itu tinggi dan tiada lain yang mengatasinya.”


55. Dalam konteks ini, usaha-usaha untuk meningkatkan keupayaan umat Islam dalam pelbagai bidang, baik ekonomi, pendidikan, sosial, teknologi dan lain-lain akan terus dipertingkatkan. Pencapaian umat Islam dalam pelbagai bidang ini tidak boleh ketinggalan di belakang. Ketinggian martabat Islam sebagai ad-din, mestilah seiring dengan ketinggian

pencapaian umat Islam dalam semua aspek kehidupan.


56. Ini adalah seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menjadi paksi dasar-dasar utama kerajaan dalam menjamin pembangunan yang mapan dan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama untuk semua rakyat tanpa mengira perbezaan agama, kaum

dan wilayah.


57. Kerajaan Perikatan Nasional akan memastikan keadilan dan kesaksamaan untuk semua rakyat sentiasa terjamin. Saya percaya, Kemakmuran Bersama hanya akan terbentuk apabila semua rakyat dapat berkongsi kemakmuran negara ini secara adil dan saksama, tanpa

sesiapapun yang tertinggal di belakang.


Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,


58. Keutamaan rakyat pada masa ini ialah untuk keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang kita hadapi bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Inilah juga keutamaan saya dan kerajaan. Usaha-usaha yang sedang dilakukan pada ketika ini ialah untuk membendung penularan COVID-19 di dalam komuniti menerusi tindakan kesihatan awam dan kawalan pergerakan yang sedang dilaksanakan di seluruh negara. Para frontliners kita telah dan sedang berusaha dengan gigih untuk mengawal penularan COVID-19. Kita berikan setinggi-tinggi penghargaan atas pengorbanan mereka semua.


59. Pada masa ini, Kita sedang menghadapi gelombang ketiga COVID19. Kes-kes harian baharu telah mencecah tiga ke empat angka dalam tempoh beberapa minggu yang lalu. Saya tahu bahawa ini bukanlah satu perkembangan yang positif buat saudara dan saudari sekalian.

Kehidupan kita tidak sama seperti dahulu. Pergerakan kita tidak sebebas seperti sebelum ini. Perniagaan terjejas. Pendapatan rakyat juga terjejas. Malah ada yang hilang kerja dan hilang mata pencarian.


60. Dalam keadaan ini, kita mesti membiasakan diri dengan norma baharu kehidupan dan patuh kepada SOP yang ditetapkan oleh kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia. Hari inipun kita bersidang dalam keadaan pematuhan kepada SOP untuk mengelakkan jangkitan COVID-19. Ringkasnya, pandemik COVID-19 memberikan kesan yang

besar terhadap kehidupan rakyat. Ramai yang terbeban dan mereka mengharapkan bantuan kerajaan dan pihak-pihak yang lain pada masa yang sukar ini.


61. Berapa ramai yang telah jatuh miskin. Daripada kumpulan M40 menjadi B40 oleh kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Golongan rentan atau vulnerable groups dalam masyarakat kita adalah kumpulan yang paling teruk terjejas. Selain berpendapatan rendah, mereka tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk

menampung perbelanjaan seharian di waktu susah.


62. Kerana itu, fokus kerajaan pada masa ini ialah untuk meringankan beban rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19. Kerajaan telah melaksanakan Pakej-Pakej Rangsangan Ekonomi yang keseluruhannya berjumlah RM 305 bilion, iaitu yang terbesar dalam sejarah negara kita. Pelbagai bentuk bantuan prihatin rakyat telah disediakan untuk membantu mereka menyara hidup pada masa yang sukar ini.


63. Bajet 2021 bernilai RM322.5 bilion yang telah diluluskan di peringkat dasar pada hari Khamis yang lalu juga bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat dan memulihkan ekonomi negara. Saya berharap agar Bajet 2021 akan dapat diluluskan oleh Dewan Rakyat

dan seterusnya Dewan Negara untuk memastikan rakyat menerima bantuan yang mereka perlukan di zaman susah ini.


64. Ada yang berpendapat Bajet 2021 perlu ditolak untuk membolehkan Pilihan Raya Umum diadakan. Tak perlulah buat begitu. Kalau tanya saya, mungkin semalam lagi saya telah nasihatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya bubarkan Parlimen untuk membolehkan pilihanraya diadakan. Tetapi kita semua tahu masalahnya ialah COVID-19. Insya-Allah, jika diizinkan Allah, apabila pandemik COVID-19 berakhir, kita adakanlah pilihanraya umum. Kita kembalikan mandat kepada rakyat, dan biarlah rakyat buat keputusan untuk memilih Kerajaan yang mereka mahu.


65. Kerajaan pada masa ini juga sedang menumpukan kepada usaha untuk mendapatkan vaksin COVID-19. Seperti yang saya telah umumkan dalam sidang akhbar saya semalam, Kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia. Insya-Allah, kita akan menerima bekalan vaksin secara berperingkat mulai suku pertama tahun hadapan.


66. Selain perjanjian dengan Pfizer, Kerajaan juga telah menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus rakyat Malaysia. Kedua-dua perjanjian ini dijangka dapat menjamin akses vaksin COVID-19 untuk 30 peratus rakyat Malaysia pada tahun hadapan. 67. Insya-Allah, dengan akses kepada vaksin ini, dan usaha-usaha yang dilakukan secara berterusan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, kita akan berjaya mengawal sepenuhnya kes-kes jangkitan COVID-19 di negara kita. Pada masa itu, insya-Allah, ekonomi negara kita akan pulih sepenuhnya dan rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selamat dan sejahtera.


68. Di peringkat serantau, saya telah tegaskan semasa Sidang Kemuncak ASEAN dan APEC baru-baru ini, tentang betapa pentingnya usaha kolaboratif antara negara serantau dalam memerangi COVID-19 dan memulihkan ekonomi. Semua negara mesti memastikan wujudnya

akses yang saksama kepada vaksin COVID-19 di samping terus menyumbang kepada peningkatan aktiviti perdagangan dan pelaburan untuk memulihkan ekonomi pasca COVID-19 dan mewujudkan Kemakmuran Bersama.


Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,


69. BERSATU telah melalui beberapa fasa dalam susur galur perjalanan parti sejak ditubuhkan empat tahun yang lalu. Kita telah melalui fasa penubuhan dengan menyaksikan gerakan mencari keahlian dan menubuhkan Bahagian dan Cawangan di seluruh negara dalam masa yang singkat. Dalam tempoh tidak sampai dua tahun, parti kita telah menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. Pada masa itu, cawangancawangan parti kita masih belum lengkap sepenuhnya.


70. Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, kita memasuki fasa baharu, iaitu fasa memperluaskan penubuhan cawangan-cawangan parti di seluruh negara, termasuk sayap Srikandi dan Armada, di samping meneruskan usaha menambah keahlian.


71. Kini adalah masanya untuk kita perkukuhkan parti. Kepada KetuaKetua Bahagian dan Ahli Ahli Jawatankuasa Bahagian, tugas anda yang paling penting ialah untuk melebarkan jaringan keahlian dan cawangan BERSATU di segenap pelusuk Bahagian saudara dan saudari sekalian. Pastikan setiap cawangan berfungsi dengan Ahli Jawatankuasa yang lengkap dan melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan di cawangan masing-masing.


72. Jentera parti juga mesti dipersiapkan untuk menghadapi pilihanraya. Latihan untuk jentera pilihanraya parti mesti dimulai dari sekarang. Jangan kita tunggu di saat akhir untuk melakukan persediaan.


73. Beberapa pindaan akan dibuat terhadap Perlembagaan parti kita dalam Perhimpunan Agung Tahunan kali ini. Pindaan-pindaan ini adalah penting untuk memastikan parti kita dapat berfungsi dengan lebih baik sesuai dengan realiti semasa. Ini termasuklah pindaan fasal-fasal tertentu dalam perlembagaan parti untuk menubuhkan Sayap Ahli Bersekutu. Ini

adalah satu lonjakan utama dalam proses pematangan parti kita sebagai sebuah parti pribumi yang bersifat terbuka dan inklusif dalam sebuah masyarakat majmuk yang demokratik, harmoni dan bersatu-padu.


74. Pindaan Perlembagaan ini adalah sebahagian daripada proses untuk menjadikan BERSATU sebagai sebuah parti yang progresif, dinamik dan sentiasa bergerak maju ke hadapan. Saya berharap cadangan pindaan Perlembagaan yang akan dibentangkan pada hari ini akan mendapat sokongan padu daripada saudara dan saudari perwakilan sekalian.


75. Saya tahu rakyat telah mula berasa muak dengan politiking yang tidak berkesudahan. Rakyat mahu pemimpin politik membantu mereka, bukan selamanya berebut kuasa. Inilah masanya BERSATU bangkit membantu rakyat. Ini peranan saudara dan saudari sekalian di peringkat Bahagian dan Cawangan, apa lagi di peringkat yang lebih tinggi. Dalam keadaan kehidupan rakyat sedang terjejas akibat pandemik COVID-19, ramai yang sedang menunggu bantuan di luar sana. Ramai yang sedang menghadapi kesusahan. Ada yang sakit. Ada ibu tunggal, orang kurang upaya dan lain-lain yang mengharapkan bantuan kita.


76. Let us rise to the occassion. This is the time to serve the people. Inilah masanya untuk kita berkhidmat kepada rakyat - amalkan politik khidmat, politik prihatin, politik kerja. Bukan politik berebut kuasa. Sampaikanlah khidmat dan bantuan anda kepada mereka yang memerlukan. Saya percaya rakyat akan lebih menghargai saudara dan saudari sekalian jika inilah yang saudara dan saudari lakukan.


Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,


77. Marilah kita perkukuhkan iltizam, pertingkatkan semangat dan perkuatkan tekad untuk terus istiqamah berada dalam wadah Parti Pribumi Bersatu Malaysia ini demi kelangsungan perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air kita. Ayuhlah kita bangkit dengan semangat waja untuk rapatkan saf perjuangan, perkuatkan semangat ukhuwwah dan perkukuhkan perpaduan sesama kita. Mudah-mudahan Allah s.w.t. cekalkan hati kita, pertingkatkan kesabaran kita dan teguhkan pendirian kita dalam menghadapi segala cabaran dan rintangan yang mendatang demi sebuah perjuangan yang kita dokong bersama.


78. Akhirnya, marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Allah s.w.t. semoga segala usaha, jasa dan sumbangan bakti kita kepada parti yang kita cintai ini diberkati, diredai dan dirahmati oleh Allah s.w.t.


Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa

barakatuh.









bottom of page