• newsatmy

PAU2020: Kita akan bertanding solo atas nama BN dalam PRU15 - Ahmad Zahid

28 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hari ini, UMNO akan bertanding secara sendirian pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.


Presiden UMNO itu berkata, parti itu akan kekal dengan pendirian yang dibuat selaras keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR dan DAP dalam PRU15.


Tegasnya, tidak ada perbincangan yang dibuat dengan mana-mana parti tersebut dan UMNO akan tetap bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).


"Perlu saya tegaskan pendirian kita dalam menghadapi PRU15. Kita tetap dengan keputusan MKT.


"No PPBM, no Anwar, no DAP. Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.


"Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji Barisan Nasional. Yakinlah! Sesungguhnya cahaya terang-benderang sedang menanti kita di hujung terowong," katanya.


Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di sini, hari ini.


Katanya, memahami politik semasa, BN perlu bersiap siaga, oleh itu UMNO akan bertanding solo atas nama dan jenama BN serta menggunakan lambang dacing.


"Kita bukan riak, bukan takabur (tetapi) kita akan bertanding bersendirian dengan lambang BN," katanya.


Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, BN juga perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk gabungan bersama selepas PRU15 kelak.


"Kita harus dominan. Dominan bukan bermaksud kita angkuh. UMNO parti terbesar di negara ini, apabila UMNO tidak menjadi tonggak kepimpinan negara, rakyat tidak lagi mengecapi kestabilan.


"Selama 22 bulan rakyat merana, Raja-Raja Melayu dihina, kepentingan Melayu diketepikan, Islam dicabar, bahasa kebangsaan diremehkan, aset-aset kerajaan dilelong termasuk aset Lembaga Tabung Haji (TH)," tegas beliau.


- Astro Awani

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.