• Arissa

PBRS, SAPP, MCA, PBS Sambut Baik Pelantikan Ismail, Hishammuddin

8 Julai 2021

Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Sabah Progressive Party (SAPP) dan MCA hari ini menyambut baik pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan.


Ketiga-tiga parti berkenaan turut menjanjikan kerjasama penuh kepada Ismail Sabri dan Hishammuddin dalam memastikan negara dapat terus melawan pandemik Covid-19 serta memulihkan semula ekonomi.


Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, PBRS menyokong penuh pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin dan yakin melalui pengalaman yang dimiliki kedua-dua pemimpin itu akan dapat meningkatkan lagi keupayaan ekonomi negara.


Menurutnya, langkah pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin juga dapat menstabilkan lagi politik negara dan Kabinet.


Sementara itu, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee pula berkata, pelantikan kedua-dua pemimpin itu memang ditunggu-tunggu oleh rakyat.


“Memang ini ditunggu-tunggu oleh rakyat dan langkah pelantikan mereka dapat memastikan Kabinet stabil.


“Perkembangan ini juga dapat memastikan kerajaan mampu menghadapi cabaran mendatang,” katanya.


Setiausaha Agung MCA, datuk Chong Sin Woon pula menjanjikan kerjasama penuh dengan kerajaan dan kedua-dua menteri berkenaan ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.


“MCA akan terus memberikan kerjasama dan yakin Ismail Sabri dan Hishammuddin mampu membawa negara dalam menghadapi Covid19,” katanya.


Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili turut menyokong langkah Perdana Menteri melantik Ismail Sabri dan Hishammuddin.


Beliau berkata, pelantikan itu adalah tepat pada masanya dan percaya Ismail Sabri dan Hishammuddin mampu memikul tugas mereka dengan berkesan.


“Tahniah saya ucapkan kepada mereka berdua,” katanya.



--PN Online