• newsatmy

Pecah barang rumah kerana berang isteri mengadu

13 April 2021

KLANG: Seorang lelaki bertindak memecahkan barang rumah gara-gara berang tindakan isterinya yang dikatakan mengadu sikap suaminya itu kepada kakak iparnya.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku di rumah pasangan terbabit di Bandar Parklands, Klang pada Ahad lalu.


"Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, suami pengadu telah bertindak membuat bising sebelum berlaku pertengkaran mulut sesama mereka.


"Lelaki berusia lingkungan 20-an itu turut bertindak memecahkan barang komputer serta cawan sebelum isterinya menghubungi pihak polis untuk bantuan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.


Beliau berkata, susulan itu, lelaki terbabit telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut.


Katanya, soal siasat motif kejadian dipercayai kerana lelaki itu tidak berpuas hati dengan isterinya yang telah memaklumkan berkenaan sikapnya kepada kakak iparnya.


"Lelaki berkenaan bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis.Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.


- Sinar Harian