top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Pejuang nampak cenderung kerjasama dengan PN berbanding PH, BN

12 Julai 2021

Penganalisis politik menjangka sukar bagi parti baharu seperti Pejuang memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) untuk mentadbir negara secara solo walaupun ia dipimpin seorang negarawan seperti Dr Mahathir Mohamad.


Beliau turut menjangka empat Ahli Parlimen Pejuang, termasuk seorang calon bebas dan daripada parti MUDA yang mesra Mahathir, akan memberi undi sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri jika usul percaya dibentang apabila Parlimen bersidang 26 Julai ini.Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berkata, melihat kepada situasi politik ketika ini, beliau tidak menolak kemungkinan Pejuang akan membentuk jajaran politik baharu dengan Perikatan Nasional (PN) selepas PRU15.


Sokongan itu juga sebagai respons kepada keputusan kerajaan meluluskan permohonan parti Pejuang, kata Atory.


“Mahathir juga bimbang kalau partinya tidak menyokong Muhyiddin, Presiden PKR (Anwar Ibrahim) akan naik menjadi PM dan sebab itu juga Muhyiddin luluskan pendaftaran Pejuang,” katanya.


Ditanya sejauh manakah Pejuang pimpinan Mahathir mampu memenangi PRU15, Atory mengakui aura bekas PM itu kali ini tidaklah sehebat dahulu, namun beliau masih mempunyai pengaruh tersendiri.


Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut berkongsi pandangan sama.“Oleh sebab beliau tak mahu berehat, akan ada juga sokongan daripada sebahagian rakyat yang taksub dengannya. Jadi perkara itu tidak boleh dihalang, itu minatnya, beliau pun sihat,” katanya.


“Pejuang dijangka akan memilih untuk bekerjasama dengan PN berbanding BN atau PH kerana Mahathir pernah berada dalam gabungan itu. Malah bekas parti yang diasaskan beliau, iaitu Bersatu berada dalam gabungan itu, jadi kemungkinan Pejuang bersama PN itu tinggi,” katanya.


Katanya, walaupun pendaftaran Pejuang diluluskan, parti itu bakal berdepan persepsi negatif rakyat susulan kegagalan Mahathir menunaikan segala janji selepas memenangi pilihan raya dan menerajui kerajaan PH selama 22 bulan.


“Kalau Mahathir bekerjasama dengan Anwar sekali lagi, saya tidak terkejut. Beliau juga mungkin boleh kerjasama dengan Warisan dan MUDA.Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Azizuddin Mohd Sani berkata, sukar untuk meramalkan Pejuang akan bekerjasama dengan pihak mana memandangkan langkah politik Mahathir sukar dibaca.


“Untuk Mahathir bekerjasama dengan Umno-BN, termasuk dengan pemimpin kluster mahkamah, ia tidak mustahil kalau ada persetujuan bersama. Dengan PN pun tidak mustahil, sebab setelah Umno kata nak keluar PN, Bersatu perlu sokongan beliau.


“Mahathir ini cekap politik, beliau boleh cari jalan untuk berkompromi dengan musuh, bekerjasama untuk menang PRU,” katanya.


Kamarul Zaman Yusoff, juga dari UUM berkata, dengan pengalaman luas Mahathir, tiada siapa boleh memperkecil kemampuan beliau untuk mencipta kejutan.


“Sekalipun begitu, secara solo, kekuatan Pejuang hanya berkisar sekitar pengaruh peribadi Mahathir sahaja, menjadikan Pejuang hanya mampu memberi impak utama di negeri kelahiran beliau, iaitu Kedah,” katanya.“Ada kemungkinan walaupun Pejuang bergerak secara solo, Mahathir akan mengadakan kerjasama tidak rasmi dengan parti-parti tertentu bagi menjadikan peluang Pejuang untuk menang lebih tinggi.


Beliau berkata, kecenderungan PH terhadap Anwar sebagai PM menyebabkan Pejuang dijangka akan cenderung kepada PN jika gabungan itu memberikan Mahathir peranan dalam kerajaan.


“Umum diketahui bahawa Mahathir sama sekali tidak akan membenarkan Anwar naik sebagai PM. Dalam keadaan begini, maka kemungkinan besar gabungan PN akan lebih berpeluang menang berbanding PH,” katanya.


Sementara itu, Iskandar Hasan Tan Abdullah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan berkata, walaupun peluang Pejuang untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih besar, sukar baginya berbuat demikian di Parlimen atas faktor jentera dan keahlian.


“Malah kerusi Parlimen Melayu kurang berkemungkinan untuk pecah jika Pejuang bergerak solo. Tetapi kerusi Parlimen Melayu akan pecah jika Pejuang menyertai PH dan menentang PN dan BN,” katanya.


Selepas diluluskan pendaftarannya, Pejuang mensasarkan untuk meletakkan ramai calon bertanding di seluruh negara pada PRU15 di kerusi yang diyakini mampu dimenanginya.


Mahathir berkata, Pejuang juga bersedia meletakkan calon di kerusi Parlimen Langkawi yang kini diwakilinya.




--PN Online

bottom of page