• newsatmy

Pekerja positif COVID-19, Mobilia gantung operasi

4 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Mobilia Holdings Bhd (Mobilia) akan memulakan semula operasi pejabat pentadbirannya pada 5 Mei ini namun menggantung operasi anak syarikatnya, Mobilia International Sdn Bhd (MI) sehingga 9 Mei ini.


Pembuat perabot yang berpangkalan di Johor itu telah menghentikan operasi di MI dari 26 April sehingga 2 Mei selepas beberapa pekerjanya diuji positif COVID-19.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata keputusan untuk melanjutkan penangguhan itu bertujuan untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.


"Syarikat bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan untuk mencegah penularan COVID-19 di premisnya dan juga untuk menjaga kesihatan pekerja yang mungkin terdedah kepada virus itu.


"Mobilia akan terus mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan," katanya.


Mobilia berkata, ia tidak menjangkakan sebarang kesan ketara terhadap operasinya, prestasi kewangan, atau memperoleh prospek yang wujud akibat penangguhan sementara itu.


Pada 23 April lalu, seorang pekerja MI didapati positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan.


Keesokan harinya, syarikat itu secara sukarela menjalani ujian saringan COVID-19 terhadap kesemua pekerjanya, membabitkan pekerja asing dan tempatan di premis yang terjejas.


-BERNAMA