top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Pelaburan diluluskan Malaysia melonjak 51.5 peratus kepada RM177.8 bln dalam tempoh Jan-Sept 20

24 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pertumbuhan pelaburan diluluskan yang amat memberangsang iaitu 51.5 peratus tahun ke tahun kepada RM177.8 bilion, melibatkan 3,037 projek, dalam tempoh Januari-September 2021.


Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pelaburan diluluskan itu, terdiri daripada sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, dijangka menghasilkan 79,899 pekerjaan di negara ini.


"Prestasi cemerlang negara ini sememangnya bukti keyakinan kukuh pelabur terhadap Malaysia sebagai hab pelaburan pilihan, khususnya ekosistem perniagaan kita yang kondusif dalam menyediakan bakat berkemahiran tinggi selain mempunyai ketersediaan kukuh dalam teknologi canggih. "Ini dapat meningkatkan lagi peranan kita sebagai tapak terkemuka dalam rangkaian pembuatan syarikat global, sekali gus melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai perintis, destinasi pelaburan terkenal di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) semalam.

Mohamed Azmin berkata sektor pembuatan menyumbang 58.4 peratus, berjumlah RM103.9 bilion daripada jumlah pelaburan, diikuti sektor perkhidmatan RM57.8 bilion (32.5 peratus) dan sektor utama RM16.1 bilion (9.1 peratus).


Pelaburan langsung asing (FDI) menguasai hampir 60 peratus daripada pelaburan diluluskan dengan sejumlah RM106.1 bilion manakala Singapura, China, Austria, Jepun dan Belanda merupakan lima negara FDI teratas yang menyumbang hampir 85.3 peratus atau RM90.6 bilion daripada jumlah itu.


Walaupun FDI menerajui pelaburan diluluskan dalam pelaburan sektor pembuatan, pelaburan oleh syarikat tempatan mendominasi dalam sektor-sektor perkhidmatan dan utama.

Dalam tempoh sembilan bulan itu, pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah RM71.7 bilion atau 40.3 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan.


Kedah, Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang menyumbang RM134.8 bilion atau 75.8 peratus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor, katanya.

Beliau berkata sebanyak 522 projek pembuatan bernilai RM103.9 bilion telah diluluskan dalam tempoh Januari hingga September 2021, peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding RM64.8 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"FDI memacu prestasi kukuh sektor pembuatan dalam tempoh itu, melonjak sebanyak 133.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2020, menyumbang 88.3 peratus atau RM91.7 bilion daripada pelaburan yang diluluskan dalam sektor itu.

"Baki RM12.2 bilion (11.7 peratus) pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan adalah daripada sumber domestik,'' katanya.


Kira-kira 96.8 peratus daripada pelaburan diluluskan untuk sektor terdiri daripada elektrik dan elektronik (EE) (RM64.3 bilion), produk logam fabrikasi (RM14.0 bilion), produk getah (RM5.4 bilion), produk logam asas (RM5.2 bilion), pembuatan makanan ( RM4.6 bilion), kimia dan produk kimia (RM4.1 bilion), peralatan saintifik dan pengukur (RM2.1 bilion) dan peralatan pengangkutan (RM980.8 juta).


Mohamed Azmin seterusnya menekankan Malaysia sedang menumpukan usaha ke arah lebih banyak projek berkualiti tinggi, berintensifkan modal dan projek-projek yang menyokong agenda pembangunan mampan negara.

"Bagi menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama (SPV) 2030 dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), kita telah mendapatkan pelaburan baharu yang selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Malaysia.

"Ini dicerminkan oleh peningkatan dalam jumlah projek berintensif modal yang diluluskan oleh MIDA pada Januari hingga September 2021," tambahnya.


Justeru, jumlah tenaga kerja sebanyak 2,923 jawatan pengurusan dan 10,207 profesional teknikal seperti jurutera diperlukan dalam bidang EE, mekanikal, kimia dan bidang-bidang lain.

Projek pembuatan yang diluluskan turut memerlukan 7,907 pekerja mahir seperti penyelia penyelenggaraan loji, pembuat alat dan acuan, juru mesin, kakitangan teknologi maklumat (IT), pengawal kualiti, juruelektrik dan pengimpal.


Selain itu, nisbah pelaburan modal setiap pekerja (CIPE) bagi projek diluluskan pada Januari-September 2021 meningkat kepada RM1.73 juta daripada RM1.27 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas.


Projek-projek terkemuka yang diluluskan termasuk peneraju global bagi papan litar bercetak dan substrat litar bersepadu Austria, ATS yang telah memilih Malaysia untuk kilang pengeluaran pertamanya di rantau ini melalui pelaburan bernilai RM8.5 bilion di Kulim, Kedah.

Nexperia Malaysia, anak syarikat milik penuh Nexperia BV (Belanda), antara pemain utama dalam pengeluaran volum tinggi semikonduktor dan komponen penting juga akan mengembangkan operasinya di Negeri Sembilan dengan melabur dalam bangunan, peralatan dan automasi.


Taiyo Yuden yang berpangkalan di Jepun turut mengumumkan pelaburan sebanyak RM680 juta untuk pengembangan pengeluaran kapasitor seramik pelbagai lapisan di Kuching, Sarawak bagi memenuhi permintaan pelanggan mereka yang semakin meningkat di rantau ASEAN.


Sementara itu, sektor perkhidmatan menyaksikan pelaburan diluluskan bernilai RM57.8 bilion membabitkan 2,473 projek dan ia dijangka mewujudkan 19,731 pekerjaan.

Pelaburan domestik mendominasi pelaburan yang diluluskan dalam lingkungan sektor berkenaan, menguasai RM46.9 bilion atau 81.1 peratus, manakala selebihnya RM10.9 bilion adalah daripada sumber asing, katanya.


Mohamed Azmin menambah subsektor hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM20.1 bilion sementara pertubuhan global, perkhidmatan kewangan, hotel dan pelancongan serta perkhidmatan pengangkutan turut mencatatkan peningkatan dalam tempoh berkenaan.

"'Paling ketara, pelaburan diluluskan untuk pertubuhan global menyaksikan lonjakan signifikan berbanding tempoh yang sama tahun lepas pada RM9.2 bilion.

"Sebanyak 83 projek untuk menjadikan Malaysia sebagai hab operasi serantau atau global mereka telah diluluskan dalam tempoh Januari hingga September 2021,'' katanya.


Beliau menambah aktiviti-aktiviti ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk 3,760 pekerja mahir berasaskan pengetahuan atau teknikal tinggi, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan integrasi yang lebih baik ke dalam rantaian bekalan global.

Mohamed Azmin berkata sektor utama menyumbang RM16.1 bilion atau 9.1 peratus kepada jumlah pelaburan diluluskan pada Januari hingga September 2021, melonjak 827 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.


Subsektor perlombongan mendominasi pelaburan diluluskan sebanyak RM16.0 bilion, diikuti perladangan dan komoditi RM84.8 juta serta pertanian RM11.5 juta dengan sejumlah 304 pekerjaan baharu diwujudkan di negara ini.


Pelaburan daripada sumber domestik menguasai sebahagian besar daripada kelulusan itu dengan jumlah keseluruhan RM12.6 bilion atau 78.3 peratus, manakala pelaburan asing menyumbang RM3.5 bilion atau 21.7 peratus.

"Melangkah ke tahun 2022, kerajaan telah menyediakan beberapa misi perdagangan dan pelaburan yang strategik dan tertumpu yang disasarkan untuk mendapatkan pelaburan dalam industri berteknologi tinggi, inovasi dan penyelidikan yang akan melengkapkan ekosistem perindustrian Malaysia.

"Ini berdasarkan 523 projek dengan cadangan pelaburan sebanyak RM37.2 bilion dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berada dalam perancangan MIDA setakat 10 Dis, 2021,'' jelas beliau.




-- BERNAMA

bottom of page