top of page
  • newsatmy

Pelajar IPTA ditahan reman bantu siasatan kes bunuh abang


7 April 2021 AMPANG : Adik kepada seorang kakitangan swasta yang ditemukan mati dipercayai dibunuh di kediamannya di sebuah apartment di Taman Pandan Indah, Ampang pada petang Selasa ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.


Perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kajang di sini, pada Rabu.


Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam, di lokasi kejadian.


"Siasatan ke atas suspek berusia 22 tahun itu akan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya di sini pada Rabu.


Mohamad Farouk turut memaklumkan proses bedah siasat dijalankan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras.


Beliau berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan ekoran itu adalah terlalu awal untuk mendedahkannya.


Sehubungan itu, Mohamad Farouk meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superitendan Saiful Azhar Rahim di talian 011-1211 6458 atau balai polis terdekat dengan segera.


Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 30 tahun ditemukan dengan kesan kecederaan di dada menggunakan objek tajam di katil bilik tidur sekitar pukul 2 petang oleh adiknya.


Difahamkan ketika kejadian, hanya mangsa berdua bersama adiknya di rumah berkenaan, manakala ahli keluarga yang lain berada di luar.


Semakan lanjut mendapati mangsa dipercayai dibunuh dan meninggal dunia di antara pukul 10 dan 11 pagi.


Terdahulu, majikan mangsa memaklumkan kepada ibunya yang mangsa tidak datang bekerja pada hari berkenaan. -Astro Awani

bottom of page