top of page
  • newsatmy

Pelajar tajaan JPA tekad cipta alternatif lain rawat penyakit ginjal

5 April 2021

PELAJAR tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Syed Mohammad Daniel Syed Mohamed yang menuntut pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Bahan di University of Sheffield, United Kingdom (UK) berazam untuk mencipta alternatif lain bagi merawat penyakit ginjal.


Syed Mohammad Daniel yang baharu sahaja memulakan pengajian di UK pada Oktober lalu berkata, penyelidikannya itu bertujuan mencipta ginjal buatan daripada bahan hidup (bioartificial) untuk menggantikan rawatan haemodialisis dan pemindahan buah pinggang.


“Penyelidikan ini mempunyai dua teras iaitu penghasilan plastik (Polyhydroxyalkanoates) untuk bakteria dan kedua adalah menggunakan plastik tersebut untuk membina balik sistem buah pinggang dalam manusia.


“Jadi plastik ini agak istimewa dan boleh digunakan sebagai satu medium untuk menumbuhkan buah pinggang dengan sempurna.


“Dalam kejuruteraan, kami akan menggunakan teknologi pencetak 3D untuk mencetak buah pinggang tersebut,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.


Menerusi penyelidikan itu, anak kelahiran Seri Manjung, Perak itu sudah menerima beberapa pengiktirafan dan anugerah seperti ‘Pembentang Poster Terbaik’ Kumpulan Kejuruteraan Biomaterial dan Tisu pada Mesyuarat Tahunan White Rose Work selain berjaya menerbitkan artikel bertajuk 'Biomedical Applications of Bacteria-Derived Polymers' dalam jurnal MDPI Polymer.


“Terdapat beberapa kajian lain yang pernah dibuat, namun kajian-kajian tersebut tidak berjaya mengatasi masalah penapisan dalam buah ginjal buatan tersebut.


“Sekarang, kami ingin membuat kajian mengenai penapisan darah pesakit dengan menggunakan buah pinggang bioartificial tersebut,” katanya.


Apabila ditanya mengenai masa depannya, dia berhasrat untuk kembali ke tanah air untuk menjadi seorang pensyarah atau penyelia di universiti tempatan.


- Astro Awani


bottom of page