top of page
  • newsatmy

Pelakon veteran Hong Kong Ng Man-tat meninggal dunia

1 Mac 2021

Pelakon veteran Hong Kong, Wu Mengda yang juga dikenali sebagai Ng Man-tat, meninggal dunia pada Sabtu (27 Feb) pada usia 70 tahun.


Ng meninggal dunia di hospital ditemani keluarganya, lapor akhbar harian Hong Kong, The Standard.


Beliau terkenal dengan peranannya dalam filem dengan pelawak Stephen Chow, termasuk The Final Combat, The Justice of Life dan Shaolin Soccer. Sebuah filem baru lakonannya, The Legend of Shaolin Temple, dikeluarkan awal tahun ini.


Seorang rakan rapat pelakon itu berkata bahawa Ng didiagnosis menghidap barah tahun lalu dan menerima rawatan di Macau.


Beliau baru-baru ini dimasukkan ke hospital di Hong Kong, di mana beliau menjalani pembedahan dan menjalani kemoterapi, menurut laporan 8 Days sebelum ini.


Pelakon itu dilaporkan menghadapi masalah jantung yang serius pada 2014 dan kurang sihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Semasa penampilan baru-baru ini di dalam rancangan aneka ragam China, Ng dilaporkan berkata bahawa beliau belum "pulih sepenuhnya" dari masalah kesihatannya sejak 2014, sambil menambah bahawa beliau pernah sangka beliau "akan mati" pada satu ketika, lapor 8 Days minggu lalu.


Satu video yang menunjukkan pelakon itu memegang bahagian dadanya di lokasi penggambaran awal bulan lalu menjadi tular, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat mengenai kesihatan pelakon itu.


Ng berpindah ke Hong Kong dari Fujian pada usia tujuh tahun dan memulakan kerjaya lakonannya pada 1973 ketika berusia 22 tahun.


"Tawa beliau akan kekal selamanya," menurut TVB Entertainment News dalam catatan Facebooknya berikutan khabar kematian Ng.

Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/hiburan/pelakon-veteran-hong-kong-ng-man-tat-meninggal-dunia/4578784.html

bottom of page