• newsatmy

Pelakon Vivek meninggal dunia akibat serangan jantung

17 April 2021

CHENNAI: Pelakon popular India, Vivek yang dimasukkan ke Hospital SIMS di Vadapalani selepas diserang sakit jantung, meninggal dunia pada pukul 4.35 pagi, waktu tempatan hari ini (Malaysia 7.05 pagi).


Laporan Times of India memetik buletin perubatan hospital sebagai mengesahkan berita dukacita itu.


Vivek atau nama sebenarnya Vivekanandan, 59, dilaporkan menerima suntikan vaksin COVID-19, Covaxin pada Khamis lalu.


Pun begitu, berdasarkan pemeriksaan awal, hospital itu memaklumkan serangan itu tiada kaitan dengan suntikan vaksin.


Sebelum ini, Naib Presiden hospital terbabit, Dr Raju Sivasamy berkata, Vivek dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira pukul 11 pagi Jumaat dan menjalani pembedahan angioplasti, memasukkan alat sten selepas saluran darah di arteri kirinya tersumbat teruk.


Keadaan Vivek bagaimanapun semakin kritikal dan terpaksa bergantung kepada alat sokongan Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO).


Pelakon itu dibawa ke hospital oleh isteri dan anak perempuannya selepas dia mengadu sakit dada pada pagi semalam. Ketika dibawa masuk ke wad kecemasan, mendiang sudah tidak sedarkan diri.


Sementara itu, Setiausaha Kesihatan Tamil Nadu, J Radhakrishnan memberitahu, Majlis Penyelidikan Perubatan India mengesyorkan vaksin Covaxin kepada pesakit jantung.


Beliau memberitahu, seramai 830 individu menerima vaksin Covaxin di hospital sama pada Khamis.


Malah katanya, enam lagi individu yang datang bersama pelakon itu turut menerima suntikan itu.


Beliau yang menyifatkan insiden yang menimpa pelakon itu sebagai kemalangan berkata, jawatankuasa pusat menyarankan vaksin ini kepada mereka yang mempunyai lebih daripada 20 komorbid.


Rathakrishnan turut menjelaskan doktor memaklumkan adalah sesuatu yang sukar untuk saluran darah tersumbat kritikal hanya dalam tempoh 24 jam.


Vivek pernah menerima Anugerah Padma Shri daripada kerajaan India atas pencapaiannya dalam perfileman pada tahun 2009.


Mendiang meninggalkan isteri dan dua anak perempuannya. Pada 2015,, anak lelaki beliau meninggal dunia pada usia 13 tahun yang menyebabkan beliau mengalami depresi dan mengambil keputusan untuk berehat sementara daripada dunia perfileman.


Beliau juga pernah membintangi beberapa filem blockbuster seperti Run (2002), Saamy (2003), Perazhagan (2004), Parthiban Kanavu (2003), Anniyan (2005) dan Sivaji bersama Rajinikanth pada 2007.


Dilahirkan di Kampung Perunkottur, selatan India, pernah berlakon lebih daripada 220 filem sepanjang kariernya.


- Astro Awani