• newsatmy

Pemain derita tiga tahun tidak mendapat gaji!

25 Febuari 2021


KUALA LUMPUR: Marcerra United adalah detik hitam dalam hidup saya!


Demikian pengakuan bekas pemain Marcerra United, Izer Hamkha Mohd Haizal yang sehingga kini masih lagi belum menerima sebarang pembayaran gaji daripada pasukan itu walaupun sudah tiga tahun berlalu.


Lebih memburukkan keadaan, dia yang ketika ini baru berusia 25 tahun sudah menggantung but dan serik untuk bermain bola sepak selepas 'ditipu hidup-hidup' oleh pasukan Marcerra United yang mula disertainya pada 2018 itu.


"Saya sebagai wakil bekas pemain Marcerra United ingin meluahkan yang kami sudah banyak menderita sejak 2018. Kami kekal profesional sepanjang musim 2018 dan mematuhi segala syarat kontrak meskipun terpaksa beraksi dengan lapan pemain dalam perlawanan rasmi.


"Sebagai pemain profesional, kami bergantung sepenuhnya kepada gaji kami tetapi sepanjang 2018, kami tidak menerima gaji langsung dan ia memberi impak kepada kami sehingga hutang keliling pinggang, kereta ditarik dan rata-rata karier pemain musnah.


"Secara logiknya, karier bagi majoriti pemain dalam usia 20-an sudah habis dan kami membuat kerja lain. Tiada pasukan yang mahu mengambil pemain yang tidak menjalani latihan dengan sempurna dan tiada pengalaman beraksi.


"Ini adalah pengalaman pahit yang saya tempuhi dan saya tidak mahu pemain lain lalui perkara sama. Masih tiada jawapan walaupun keputusan sudah dikeluarkan, jadi itu menyebabkan kami mendapatkan bantuan peguam," katanya pada sidang media di Shah Alam, semalam.


Sementara itu, bekas pertahanan Kuantan FA, Abdul Ghani Rahman mengakui situasi yang menimpa pasukan itu memberi impak yang sangat teruk khususnya kepada pemain muda yang ketika itu baru hendak menapak dalam arena bola sepak.


"Pemain yang baru bermain bola memang tiada pendapatan langsung dan selepas perkara seperti ini berlaku, ramai pemain berbakat di Kuantan FA terus tidak bersemangat.


"Isu ini juga juga secara tidak langsung memburukkan lagi status liga kita kerana sampai bila perkara ini akan berlaku. Orang pasti akan pandang buruk kepada liga kita," katanya.


Terdahulu, Pengurusan Kuantan FA dan Marcerra United diberikan satu lagi 'peluang terakhir' sehingga 14 hari untuk mengadakan perbincangan dan mencari jalan penyelesaian membabitkan isu tunggakan gaji berjumlah lebih RM900,000 kepada bekas pemain dan pegawai mereka.


Peringatan itu dikeluarkan peguam yang mewakili bekas pemain dan pegawai dua pasukan itu, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak yang menegaskan kes terbabit akan dipanjangkan ke mahkamah sivil sekiranya pihak yang bertanggungjawab terus berdegil dan tidak memberi sebarang maklum balas.


Suhail berkata, bekas pemain dan pegawai Kuantan FA serta Marcerra United mahu menyelesaikan isu itu dengan baik namun apa yang mendukacitakan, pengurusan terbabit hanya berdiam diri meskipun ia sudah berlanjutan sehingga lebih tiga tahun. -Berita Harian.

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.