top of page
  • Writer's pictureNizam

Pembangkang enggan beri sokongan pada RUU pindaan Akta 342

15 Disember 2021

KUALA -LUMPUR-Pakatan Harapan (PH) tidak akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang dibentang semalam dan dijangka bakal dibahaskan esok.


Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan juga perlu mengadakan perbincangan mendalam dengan Pakatan Harapan (PH) serta pembangkang amnya agar satu bentuk pindaan Akta 342 yang lebih baik dapat diperoleh dan dipersetujui bersama.


“PH meneliti secara terperinci RUU Akta 342 yang telah dibentang pada Selasa dan difahamkan bakal dibahas esok (Khamis).


“Walaupun satu pindaan tambahan telah dibawa hari ini (Rabu) yang mengurangkan denda dan kompaun bagi RUU tersebut, ahli-ahli Parlimen PH berpandangan bahawa RUU ini tetap membuka ruang yang luas untuk berlakunya salah guna kuasa, rasuah, serta amalan ‘antara dua darjat’.


Terdapat tiga perubahan dibuat pada RUU itu hari ini, yang berkisar tentang hukuman maksimum yang boleh dikenakan di bawah akta tersebut.


Pertama, Fasal 9 RUU itu disemak semula dengan menurunkan denda maksimum RM100,000 yang dicadangkan pada mulanya atau tujuh tahun penjara di bawah Seksyen 24(a) kepada “RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun” jika kes itu membabitkan seorang individu.

Seksyen 24 pula berkaitan “hukuman am” bagi “mereka yang melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan yang tiada penalti diperuntukkan secara nyata”.

Kedua ialah mengurangkan hukuman yang dicadangkan dalam Seksyen 25(b), daripada denda tidak melebihi RM1 juta bagi badan korporat kepada pengurangan sebanyak RM500,000.


Semakan ketiga adalah menggantikan cadangan penambahan Seksyen 31(3) kepada kompaun tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


Sebagai rekod,Akta 342 sekarang memberi kuasa kepada ketua pengarah kesihatan untuk mengenakan denda maksimum hanya RM1,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard, seperti kegagalan memakai topeng muka di tempat awam.


“Justeru, saya menggesa kerajaan khususnya Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menarik balik RUU ini dan mengadakan perbincangan mendalam dengan PH serta pembangkang amnya. Ini bertujuan agar satu bentuk pindaan Akta 342 yang lebih baik dapat diperoleh dan dipersetujui bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.


Pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, cadangan lima peruntukan baharu dan lima pindaan dalam RUU Akta 342 bakal memastikan kesinambungan penguatkuasaan peruntukan mengikut Ordinan Darurat sebelum ini.



bottom of page