• newsatmy

Pembinaan Genting Tunnel ECRL bermula Mei

13 April 2022

KOTA BHARU: Pembinaan terowong terpanjang dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atau Genting Tunnel membabitkan dua negeri, Pahang dan Selangor akan bermula pada Mei ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, proses pembinaan Genting Tunnel tersebut dijangkakan mengambil masa selama dua setengah tahun untuk siap.


“Kerja-kerja pembinaan 59 terowong sepanjang 61.1 km di laluan ECRL ini kebanyakkan sudah berjalan.

“Bagi pembinaan terowong terpanjang Genting Tunnel iaitu sejauh 16.39 km membabitkan negeri Pahang dan Selangor akan bermula Mei ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ifftar bersama MRL di Hotel Perdana, di sini, pada Selasa.


Mengulas lanjut, Genting Tunnel membabitkan proses pembinaan terowong sepanjang kira-kira 10 km di Pahang manakala lebih 6 km di Selangor.


“Proses mengorek terowong akan mengambil masa dalam dua tahun setengah dengan kadar produktiviti antara 400 meter (m) ke 600 m sebulan.


“Secara keseluruhan kami tidak menghadapi banyak masalah dan banyak isu-isu yang sudah diselesaikan dengan kerjasama baik daripada semua pihak terutama kerajaan di negeri-negeri yang terlibat,” katanya.


Dalam perkembangan sama, beliau berkata, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) setakat ini mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 28.57 peratus membabitkan jajaran di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.


“Pencapaian ini berada pada landasan tepat ECRL yang disasarkan untuk siap sepenuhnya pada Disember 2026 dengan secara keseluruhannya rangkaian rel sepanjang 665 kilometer (km).


“ECRL di Kelantan yang merangkumi jajaran sepanjang 43.86 km peratus dengan kemajuan kerja-kerja infrastruktur yang dicapai ketika ini adalah sebanyak 21.57 peratus dan proses pengambilan tanah untuk jajaran utama di negeri ini sudah selesai sepenuhnya dengan kerjasama Kerajaan Kelantan dan agensi serta jabatan yang terlibat melancarkan projek ECRL di negeri ini,” katanya.


Ujar beliau, penumpang ECRL disasarkan sebanyak 5.6 juta setahun dengan satu trip berkapasiti 440 orang pada menggunakan enam gerabak pada satu-satu masa.


“Harga tiket belum diputuskan lagi dan itu bergantung kepada kerajaan negeri pada masa akan datang apabila ECRL siap sepenuhnya nanti.


“ECRL yang akan beroperasi pada 1 Januari 2027 menyaksikan kita akan mempunyai sistem pengangkutan yang lebih canggih dan moden di negeri-negeri Pantai Timur selain memendekkan waktu perjalanan Kuala Lumpur-Kelantan-Kuala Lumpur kepada empat jam berbanding enam hingga tujuh jam pada kebiasaan,” katanya.