• Arissa

Pembuat dasar tidak boleh lari daripada berbicara tentang politik - Johari Abdul

23 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Rakyat secara amnya mahu sidang Parlimen yang akan bermula tidak lama lagi menumpukan perbincangan mencari penyelesaian kepada masalah kritikal hari ini dan berhenti berpolitik.


Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, mereka tidak dapat lari daripada sentimen politik kepartian apabila membuat dasar di Dewan Rakyat.


“Sebab itulah hakikatnya. Politik ini memandu perbincangan kita kerana setiap parti mempunyai prinsip masing-masing.


“Jadi sebagai seorang wakil rakyat apatah lagi saya sebagai Ketua Whip, tentulah saya akan membawa polisi parti saya berkenaan isu-isu tertentu.


“Ini akan memandu kita juga bagaimana kita menyokong atau menolak satu-satu Rang Undang-Undang yang diusulkan oleh kerajaan,” jelasnya.


Kata Pengerusi Pakatan Harapan Kedah itu, harus diingat peranan pembangkang ialah untuk mengimbangi apa yang dibawa oleh kerajaan kerana tidak semuanya betul, maka harus ada pihak yang menegur dan memberi pandangan berbeza.


Namun dalam hal pandemik COVID-19 ini jelas beliau, pihak pembangkang tidak pernah menentang apa yang diusulkan kerajaan antaranya berkenaan perancangan untuk membeli vaksin lebih awal tempoh hari.


Beliau turut memberi contoh isu Palestin di mana semua pihak bersatu hati menentang dan mengutuk kekejaman rejim Zionis yang membedil Syeikh Jarrah tempoh hari.


Maka jelas Johari, pembangkang tidaklah selamanya dan sepanjang masa menentang kerajaan hanya kerana prinsip asas parti yang berbeza.


“Maknanya di sini ada kalanya kita akan menyokong habis-habisan kerana kita melihat kepentingan awam itu menjadi keutamaan dalam kehidupan kita.


“Jangan dilihat oleh kerana dia pembangkang dia akan menentang dengan semberono.”




--PN Online