top of page
  • admin

Pembubaran Parlimen yang mengecewakan rakyat – Aminuddin


SEREMBAN, 11 Okt – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun menyifatkan pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin sebagai ‘tidak dialu-alukan’.


Malah beliau turut meluahkan rasa kecewa dengan keputusan itu pada saat rakyat ketika ini bergelut dengan resah kedatangan musim tengkujuh.


“Di Kuala Pilah pun malam tadi baharu saja berlaku banjir menyebabkan ada penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Jadi nak pilihan raya sekarang, memang tak sesuai.


“Lagi pun kerajaan hari ini yang ditadbir di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada dalam keadaan baik dan Pakatan Harapan (PH) pun bagi sokongan, tiada apa-apa isu,” katanya pada Isnin.


Apa yang jelas katanya, jika Perdana Menteri tidak membuat permohonan pembubaran Parlimen kepada Yang Di-Pertuan Agong, baginda tidak perlu memutuskan apa-apa.


Menurutnya, keadaan itu jelas menunjukkan yang UMNO-BN sebenarnya tergesa-gesa mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.


“Disebabkan sudah diputuskan yang Parlimen dibubarkan, PH Negeri Sembilan akan bersedia untuk mengadakan pilihan raya Parlimen.


“Untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, kita kekal dengan keputusan yang dibuat Majlis Presiden PH untuk membubarkanya tahun hadapan.


“Harap rakyat beramai-ramai akan turut mengundi pada pilihan raya ini dan sampaikan mesej kepada kerajaan pada kertas undi supaya jangan sesuka hati buat keputusan demi kepentingan parti sendiri,” katanya.

bottom of page