top of page
  • newsatmy

Krisis Politik Tidak Berakhir di Perak, Jangka Penganalisis


Menurut analisa seorang penganalisis politik, pertukaran kepimpinan di negeri Perak yang dipegang oleh UMNO mungkin sekadar permulaan kepada usaha parti itu untuk mengambil alih pemerintahan di negeri lain.


Ahli Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berpendapat bahawa perselisihan antara UMNO, PPBM dan PAS di peringkat pemerintahan negeri dan pusat masih belum mempunyai titik noktah.


Menurut beliau, konflik di Perak memberi gambaran bahawa UMNO berhasrat untuk “membetulkan keadaan”, dengan merampas kuasa di mana ia mempunyai majoriti, setelah lama akur pada dominasi PPBM.


“Sekiranya PPBM melutut di Perak, maka negeri-negeri lain dan malah di peringkat persekutuan di mana gabungan UMNO mempunyai majoriti berpotensi jatuh kepada kuasa yang sama. Bagi PAS, ‘duduk atas pagar’ adalah paling baik”, ujarnya kepada FMT.



Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, UMNO mempunyai 59 anggota menguasai 25 kerusi, manakala PPBM dan PAS masing-masing mempunyai 5 dan 3 kerusi. Dua kerusi berbaki dipegang oleh GERAKAN dan Bebas.


Di meja pembangkang, Pakatan Harapan (PH) memegang 24 kerusi melalui DAP (16), AMANAH (lima) dan PKR(tiga).


Walau bagaimanapun, Azmi Hassan yang merupakan bekas ahli akademik berkata dengan kata sepakat ketiga-tiga parti itu dalam meluluskan pengerusi UMNO Perak, Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar, penguasaan Perikatan Nasional (PN) tampak lebih stabil buat masa ini.


Persetujuan itu tidak dijangka, tetapi membuktikan bahawa PPBM dan UMNO sentiasa bersedia “berjabat tangan” dan bekerjasama kerana mereka saling memerlukan dalam arena politik negara pada masa kini.


“Pemimpinnya sangat sedar bahawa silap langkah di Perak akan menimbulkan bencana, bukan hanya untuk PN Perak, tetapi juga di peringkat persekutuan. Ia tidak baik untuk Umno dan PPBM.


“Persetujuan PPBM, PAS dan Umno mengenai calon menteri besar menunjukkan PN di peringkat negeri dan persekutuan kritikal, tetapi ketiga-tiga entiti itu bersedia melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kedudukannya dalam arena politik negara.”



Syed Arabi Idid, seorang penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mempunyai pandangan yang berbeza. Menurut beliau, pelantikan Saarani sebagai Menteri Besar bukanlah sesuatu yang pelik kerana beliau merupakan seorang ahli politik kanan yang mempunyai sokongan padu di peringkat akar umbi.


Walau yang demikian, beliau waswas akan kelewatan PPBM dan PAS dalam memberi tanda persetujuan, serta mengapa ketiga-tiga parti tidak membincangkan perkara tersebut terlebih dahulu.


“Apakah maknanya kekecohan ini? Sekiranya ini adalah hasilnya, maka ketiga-tiga parti sepatutnya boleh membincangkan masalah itu. Merancang agar bekas menteri besar mengundurkan diri, dan Saarani mengangkat sumpah jawatan,” katanya. “Ia akan menjadi lebih rapi dan tenang.”


Katanya, kerjasama ketiga-tiga parti dalam memastikan belanjawan tahunan diluluskan itu berkemungkinan, akan tetapi dalam pilihan raya umum seterusnya, konflik boleh berbangkit mengenai pembahagian kerusi.


Saarani yang merupakan ADUN Kota Tampan, telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada Khamis lalu (10 Dis) setelah Ahmad Faizal Azumu ditumbangkan melalui usul undi percaya di DUN minggu lalu.

bottom of page