top of page
  • newsatmy

Pemuda Sepakat Bawa Usul Pemilihan Wajar Dilaksanakan Selepas PRU-15 – Hasmuni

17 Disember 2021

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memaklumkan sepakat membawa dua usul untuk diperhalusi hasil daripada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO minggu lalu termasuk untuk menggesa supaya pemilihan parti diadakan hanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).


Setiausahanya, Datuk Hasmuni Hassan berkata ianya bertujuan untuk memastikan kerukunan serta kestabilan parti terpelihara.

“Hampir keseluruhan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian-Bahagian di seluruh negara telah selesai melaksanakan mesyuarat mengikut bahagian masing-masing bermula 11 Disember 2021 yang lalu. Daripada jumlah keseluruhan yang telah bersidang sebanyak 176 telah menghantar usul untuk diperhalusi dan dimuktamadkan.

“Dua usul yang menjadi ketetapan utama 176 Bahagian-Bahagian Pemuda UMNO ke Ibu Pejabat termasuk untuk menggesa pemilihan parti diadakan selepas PRU-15.

“Tindakan ini juga dapat memberikan ruang kepada kepimpinan parti untuk fokus terhadap agenda membantu rakyat sebelum memulangkan mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang baharu,” katanya menerusi satu kenyataan.


Tambah beliau lagi, usul kedua yang dibawa adalah supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengetengahkan lebih ramai calon muka baharu dan calon anak muda dalam menghadapi PRU-15 yang akan datang.


Katanya ianya juga susulan aspirasi dan keputusan kepimpinan yang meletakkan 87 peratus muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Melaka tempoh hari.

“Melalui keputusan ini jualah, PRN Melaka menjadi saksi bahawa tindakan kepimpinan ini telah memberikan kelebihan dan keyakinan rakyat untuk mengundi BN, khususnya pengundi anak muda. Justeru, bertepatan dengan langkah tersebut, perwakilan Pemuda UMNO percaya kepimpinan UMNO/BN perlu meneruskan langkah ini dan Insya-Allah BN akan kembali menjadi pilihan majoriti rakyat Malaysia.

“Inilah suara majoriti akar umbi Pemuda UMNO di seluruh negara yang mahukan pengukuhan serta memastikan UMNO menjadi organisasi terbaik yang dapat menjamin kestabilan demi kemakmuran negara.

“Saya juga percaya, Pemuda UMNO sebagai tiang dan teras kepada parti perlu sentiasa bersiap siaga dan memberi komitmen terbaik dalam menghadapi apa-apa jua keadaan. Semoga usul-usul yang diketengahkan dipertimbangkan dengan baik oleh pucuk pimpinan parti demi kebaikan bersama,” ujar beliau.


Terdahulu, mesyuarat Perwakilan bagi Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian telah berlangsung selama dua hari bermula Sabtu sebelum disusuli Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 18 Disember ini.


Perhimpunan Agung UMNO 2021 pula dijadualkan akan diadakan selama tiga hari bermula 13 Januari tahun hadapan

Kommentare


bottom of page