- newsatmy
Penang FC boleh tambah duka Kedah
11 April 2021 KUALA LUMPUR: Penang FC (PFC) boleh menghadiahkan kesedihan berganda buat pasukan jiran, Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila mereka bakal melayan kunjungan Sabah FC di laman sendiri malam ini.
Ini kerana anak buah Aidil Sharin Sahak itu bukan sahaja terlepas peluang menerajui Liga Super buat seketika namun mereka juga berpotensi 'kehilangan' status sebagai pasukan di tangga kedua.
Tatkala KDA FC menghimpun 16 mata, skuad Harimau Kumbang yang ketika ini dengan 14 mata boleh membuktikan kemampuan mereka sebagai pencabar Liga Super musim ini sekiranya menang ke atas Sabah FC.
Jika mereka berjaya mengutip tiga mata daripada aksi di Stadium Bandaraya, juara Liga Perdana musim lalu itu akan melonjak ke tangga kedua Liga Super dengan 17 mata.
Malah, dengan tiga kemenangan berturut turut selain kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad bimbingan Tomas Trucha itu tampak turun sebagai pasukan pilihan untuk aksi malam ini.
Bagaimanapun, Trucha yang memiliki paras rupa mirip pengendali Liverpool, Jurgen Klopp itu memberi amaran kepada anak buahnya supaya tetap berwaspada dengan 'tandukan' Sang Badak pada aksi terbabit.
"Mereka tewas perlawanan terakhir tetapi pada aksi sebelum ini, mereka sudah bertambah baik dan mula mengutip mata. Saya menyaksikan beberapa perlawanan mereka dan mereka boleh bermain dan memegang bola dengan baik.
"Kalau kita benarkan mereka bermain, mereka boleh menjadi satu pasukan yang berbahaya," katanya. -BH Online
Comments